
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan berangkat menziarahi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kini berada di London, United Kingdom.
Istana Negara melalui satu hantaran di akaun Facebook memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan berinteraksi bersama Sultan Selangor yang menjalani rawatan di sana, dalam kunjungan semalam.
Sultan Sharafuddin Idris Shah berada di London sejak 28 Julai lalu untuk menjalani rawatan serta pembedahan Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP).
“Yang di-Pertuan Agong mendoakan agar Sultan Sharafuddin dikurniakan kesembuhan segera dan kesejahteraan serta keafiatan yang berpanjangan,” menurut hantaran itu.
Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka berangkat pulang ke tanah air pada 15 Ogos ini.
Ketika ini Yang Dipertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berada di London bagi lawatan khas hingga 15 Ogos ini.
Sementara itu, melalui akaun Facebook Selangor Royal Office, turut memakumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat menjalani rawatan berkenaan beberapa hari lalu.
“Alhamdulillah, DYMM Sultan Selangor telah pun selamat menjalani rawatan dan pembedahan (surgery) Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) di sebuah hospital di London beberapa hari lalu,” katanya.
Hantaran berkenaan turut mendapat komen daripada rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda. – Getaran, 13 Ogos 2023
