
HULU SELANGOR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melancarkan kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu pada Jumaat.
Pelancarannya disempurnakan Al-Sultan Abdullah dalam Majlis Lawatan Kerja baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kuala Kubu Baru.
Cetakan terbaharu merupakan satu-satunya kitab tafsir yang lengkap diterbitkan oleh Jakim, karya terjemahan oleh penulis tempatan yang berkelayakan dan diiktiraf serta saiz lebih besar dan mesra pembaca berbanding versi asal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika menyampaikan sembah ucapan aluan berkata, bagi mengarusperdanakan pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini, Jakim memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi menyelaras kurikulum pengajian tahfiz supaya bersifat menyeluruh.
Idris berkata, gabungan dua komponen ilmu iaitu ilmu hafazan al-Quran dengan ilmu-ilmu yang lain akan mengintegrasikan ilmu aqli dan naqli.
"Integrasi ilmu ini diharapkan dapat melahirkan generasi huffaz yang berkualiti serta relevan dengan realiti perkembangan dunia semasa, ke arah merealisasikan kesejahteraan duniawi dan ukhrawi," katanya.
Beliau berkata, kerajaan sedar untuk membangunkan masyarakat yang sejahtera, pembangunan rohani dan insaniah masyarakat perlu menjadi agenda utama.
Justeru, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM140 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf institusi-institusi pendidikan Islam termasuk untuk tahfiz dan sekolah-sekolah agama.
Selain itu, beliau berkata, dalam Majlis Penyampaian Skim Pembiayaan Hafiz 25 Ogos lalu, kerajaan melalui Jakim telah memperuntukkan sebanyak RM1,060,755 kepada 75 penerima baharu terdiri dalam kalangan huffaz yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Idris berkata, kesemua usaha yang berterusan itu dilaksanakan bertujuan untuk terus memperkasakan para huffaz yang telah menjadi aset kepada agama, negara dan ummah.
Menurut beliau, sesuai dengan perkembangan zaman tanpa mengabaikan teras-teras dalam ilmu tafsir serta tadabbur al-Quran serta berpandukan pandangan alim ulama dalam negara sebagai rujukan, kitab itu sewajarnya diangkat menjadi rujukan rasmi umat Islam di Malaysia.
"Semoga umat Islam di negara in akan terus memahami serta menghayati ayat-ayat al-Quran melalui penerbitan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu ini," kata Idris.
Terdahulu, pasangan diraja itu berangkat tiba di institut pengajian al-Quran berkenaan pada jam 9 pagi diiringi Idris dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Majlis lawatan dimulakan dengan bacaan al-Quran, disusuli sembah ucapan aluan oleh Idris, sembah taklimat Pengarah Darul Quran Mohamad Kori Jusoh, persembahan nasyid dan pelancaran tafsir pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu oleh Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan melawat bilik kuliah dan beramah mesra dengan kakitangan serta pelajar institut pengajian itu, sebelum berkenan mengurniakan sumbangan kepada 20 pelajar Darul Quran Jakim daripada golongan asnaf.
