Agong Berkenan Lawat Kementerian Pertahanan

26 Mar 2024 • 4:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menandatangani buku tetamu sempena lawatan kerja rasmi baginda di Kementerian Pertahanan hari ini sambil diperhatikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan pegawai-pegawai kanan ATM.

image is not available
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra bersama kakitangan Kementerian Pertahanan sempena lawatan kerja rasmi baginda di Kementerian Pertahanan hari ini. - gambar BERNAMA

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menandatangani buku lawatan di Lobi VIP Wisma Pertahanan.

Baginda turut berkenan bergambar bersama pengurusan tertinggi kementerian sebelum diberikan taklimat di Bilik Mesyuarat Bunga Raya berkaitan Struktur Organisasi dan Profil Kementerian, Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025. 

Turut dipersembahkan ialah taklimat Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Kekuatan Aset Strategik, Perolehan Aset Utama, Pelupusan Aset Usang dan Projek Pembangunan Utama.

image is not available
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra bersama kakitangan Kementerian Pertahanan sempena lawatan kerja rasmi baginda di Kementerian Pertahanan hari ini. - gambar BERNAMA

Sebelum berangkat pulang pada 11.25 pagi Sultan Ibrahim berkenan bertemu warga ATM dan MINDEF.

MINDEF menerusi kenyataan memaklumkan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan merupakan lawatan julung kali dizahirkan Seri Paduka Baginda ke atas organisasi kementerian di Malaysia sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17. 

"Kementerian Pertahanan dan ATM menjunjung kasih atas kesudian Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia bercemar duli mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kementerian Pertahanan," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

image is not available
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bergambar bersama kakitangan Kementerian Pertahanan sempena lawatan kerja rasmi baginda di Kementerian Pertahanan hari ini. - gambar BERNAMA