Agong Gesa Penjawat Awam Pelihara Integriti Dan Kepercayaan Rakyat

LocalPolitics
8 Jan 2026 • 5:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menggesa semua penjawat awam supaya menegakkan tahap integriti dan amanah tertinggi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Baginda bertitah, tadbir urus beretika amat penting demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, penjawat awam merupakan tulang belakang pentadbiran negara dan memainkan peranan penting dalam memastikan dasar serta program kerajaan dilaksanakan dengan berkesan.

Baginda turut menekankan kepentingan membudayakan persekitaran kerja berteraskan kejujuran, ketelusan dan kecekapan, selain menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, rasuah atau penyelewengan yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi kerajaan.

Titah dan nasihat itu disampaikan baginda ketika menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di Istana Bukit Tunku. 

Pada pertemuan tersebut, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima taklimat mengenai isu-isu semasa melibatkan perkhidmatan awam, termasuk inisiatif memperkukuh tadbir urus serta akauntabiliti institusi.

Dalam pertemuan berasingan di lokasi sama, baginda juga berkenan menerima kunjungan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ibrahim Darus, sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan baginda terhadap pemerkasaan integriti dan pengawasan dalam sektor pentadbiran serta keselamatan.

Dengan seruan agar penjawat awam menghayati etika kerja dan akauntabiliti yang teguh, Sultan Ibrahim bertiah, tadbir urus bertanggungjawab dan perkhidmatan awam berprinsip kekal sebagai teras utama dalam memelihara kestabilan negara, kepercayaan rakyat dan keberkesanan pentadbiran. - Getaran, 8 Januari 2026