
PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) Tahun 2026 kepada 150 penerima di Istana Negara, hari ini.
Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan DKAT 2026 yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Pada istiadat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.
Seri Paduka Baginda turut mengurniakan PGAT Kehormat kepada empat panglima tentera dari negara serantau.
Mereka ialah Panglima Angkatan Tentera Thailand, General Ukris Boontanondhat, Panglima Tentera Laut Singapura, Rear Admiral Sean Wat, Panglima Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Haszahaidi Ahmad Daud, dan Panglima Tentera Udara Filipina, Leftenan Jeneral Arthur Mirasol Cordura.
“Pada istiadat berkenaan juga, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 22 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 30 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 49 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) melibatkan 43 penerima.
“Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam perkhidmatan ATM,” menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.- KOSMO! ONLINE
The post Agong kurnia Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera kepada 150 penerima appeared first on Kosmo Online.





