
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menarik balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohd Isa Abdul Samad, berkuatkuasa pada 8 Jun lalu.
Agong Tarik Semula Gelaran Tan Sri Kerana Isa Samad Masih Menjalani Hukuman Penjara
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini (11 Jun) memaklumkan, keputusan menarik balik kurniaan darjah kebesaran tersebut dibuat susulan kesalahan Isa Samad yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
“Serta titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” kata kenyataan tersebut.
Isa Samad Kekal Jalani Hukuman Penjara 6 Tahun & Denda RM15.45 Juta
Pada Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda itu, berhubung sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Mohd Isa, 77, oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.
Lapor Sinar Harian, Mahkamah Rayuan pada waktu itu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, dengan tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Baca Artikel Berkaitan: Didapati Bersalah Isu Rasuah, Isa Samad Dipenjara 6 Tahun & Denda RM15.45 Juta
Baca Artikel Berkaitan: Isa Samad Dilepaskan & Dibebaskan Dari 9 Pertuduhan Rasuah RM3 Juta, Hakim Jelaskan Ini Sebabnya






