Agong, Permaisuri Selamat Tiba Di Madinah

22 Jun 2023 • 12:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua yang diiringi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan paduka-paduka anakanda disambut Putera Faisal bin Salman Al Saud - Gambar Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Kota Suci Madinah, Arab Saudi semalam.

Menerusi perkongsian dalam Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz pada 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

“Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua yang diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan paduka-paduka anakanda disambut Gabenor Madinah Yang Amat Mulia Putera Faisal bin Salman Al Saud,” menurut catatan itu, hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berada di Madinah dan Makkah hingga 1 Julai untuk menunaikan ibadah haji.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun. - Bernama