Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Samy Vellu

LocalPolitics
15 Sep 2022 • 12:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bekas Presiden MIC Tun S. Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya kira-kira 7 pagi Khamis. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden MIC dan Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu yang meninggal dunia pada Khamis.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara pada Khamis, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” menurut catatan itu.

Semasa hayatnya, Samy Vellu pernah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dari 1979 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Sebagai antara menteri kabinet yang paling lama berkhidmat iaitu kira-kira 30 tahun, mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran Persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 1978 hingga 2008.

Mendiang juga pernah dilantik sebagai Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan bagi Infrastruktur.

Dalam bidang pendidikan, mendiang turut memberi sumbangan besar dengan mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.

Samy Vellu, 86, meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi Khamis dan perkara itu disahkan bekas presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam ketika dihubungi Bernama. - Bernama.