Agong, Raja Permaisuri Sertai Penduduk Kampung Sungai Labu Sediakan ‘Bubur Banging’

1 Apr 2023 • 8:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyantuni para penduduk Kampung Sungai Labu yang menyediakan juadah berbuka puasa di Masjid Kampung Sungai Labu sempena lawatan baginda berdua di sekitar Pulau Labuan hari ini. - Gambar Bernama

LABUAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan bersama-sama penduduk kampung Kampung Sungai Labu menyediakan 'Bubur Banging' untuk berbuka puasa di Masjid Sungai Labu.

Ketibaan Seri Paduka  di Masjid Sungai Labu pada jam 4.05 petang telah disambut ahli jawatankuasa masjid dan penduduk kampung dan telah bemesra bersama mereka selain menyampaikan sumbangan peribadi baginda kepada kanak-kanak.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan mengacau atau ‘sangai’ dalam dialek Kadayan, nasi dalam kuali panas tanpa minyak masak.

Tunku Azizah turut berkenan untuk berkongsi resipi masakan tradisional Kedayan iaitu Bubur Banging daripada penduduk kampung yang diperbuat daripada beras kampung, daun pandan, santan serta jagung manis dan perisa.

Petang ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama ketua jabatan kerajaan di Dorsett Grand Labuan. - Bernama