Agong Tinjau Daerah Mersing Dari Udara, Ingatkan Tanggungjawab Jaga Kebersihan

14 Apr 2024 • 8:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Yang di-Pertuan Agong menggunakan helikopter Sikorsky milik baginda untuk melakukan tinjauan itu - gambar RPO

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan meninjau persekitaraan daerah Mersing melalui udara.

Berangkat dari lapangan lapangan helikopter Istana Bukit Serene, Johor Bahru kira-kira jam 9.30 pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong menggunakan helikopter Sikorsky milik baginda sebelum mendarat di Istana Flintstones. 

Dalam tinjauan udara selama hampir 40 minit itu, baginda turut meninjau pesisir pantai Mersing, Kem Iskandar, Istana Flintstones dan Lighthouse Istana Flintstones. 

image is not available
Helikopter Sikorsky milik baginda - gambar RPO

Sultan Ibrahim bertitah, Mersing merupakan daerah pelancongan yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, serta kaya dengan keindahan alam.    

“Dalam tinjauan udara selama hampir 40 minit ini, saya meninjau persekitaraan daerah Mersing termasuk pesisir pantai.

“Mersing bukan sahaja kaya dengan keindahan flora dan fauna, malah terdapat banyak pulau-pulau yang menjadi tarikan pelancong,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan pemilik resort serta penduduk kampung tentang tanggungjawab dalam menjaga kebersihan pulau-pulau. 

“Jangan terkejut jika saya membuat rondaan secara mengejut di kawasan perkampungan serta pulau-pulau persekitaran Mersing,” titah baginda. 

image is not available
Yang di-Pertuan Agong sebelum memulakan tinjauan - gambar RPO

Seri Paduka Baginda turut berkenan meninjau fasilitas bot di Kem Iskandar. 

“Saya juga mendapati kolam selam tempur di kem berkenaan masih belum siap sepenuhnya di mana ia sepatutnya diserahkan kepada 21 Gerup Gerak Khas (GGK) pada Disember 2022. 

“Malah, saya telah dimaklumkan sehingga sekarang lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak yang berkenaan,” titah Seri Paduka Baginda. - Getaran, 14 April 2024