
PEKAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) untuk tidak menjual dan tidak menyewakan rumah yang telah dikurniakan kepada mereka.
Seri Paduka bertitah Ru’RASA yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hanya untuk penghuni rumah berkenaan dan sewajarnya mereka menjaga kemudahan itu sebaiknya.
“Jangan ada fikir hendak jual atau sewa. Saya tidak suka dengar jika ada mana-mana (pemilik) rumah ini berhasrat untuk jual pada masa akan datang. Kalau tiada waris, sila maklumkan.
“Boleh hubungi pejabat daerah atau pejabat Sultan untuk maklumkan tentang status tiada waris. Penghulu serta ketua kampung juga kena bertanggungjawab dalam hal ini,“ titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Pengurniaan Kunci Ru’RASA kepada 16 penerima dari sekitar Pekan di Kampung Pahang Tua di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama bakal Duta Besar UAE ke Malaysia Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri.
Seri Paduka juga menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan atas bantuan menyediakan kediaman selesa buat mereka yang kurang berkemampuan.
“Bagi pihak rakyat dan kerajaan, saya ucapkan berbanyak terima kasih dan mudah-mudahan projek ini akan diteruskan dan ditambah... saya akan usahakan, insya-Allah,“ titah Seri Paduka.
Pelaksanaan Ru’RASA di Pekan melibatkan rumah bernilai RM75,000 dan RM100,000 yang dilengkapi tiga bilik dengan tempoh pembinaan setiap rumah selama 16 minggu.
Sementara itu, pemilik Ru’RASA di Kampung Pahang Tua, Nor Rafeah Mustafa, 41, menyifatkan rumah diterimanya sebagai sangat sempurna untuk didiami bersama dua anak lelaki berusia 10 dan 15 tahun.
Ibu tunggal itu berkata dia tidak pernah bermimpi untuk memiliki kediaman sendiri memandangkan kos untuk membina rumah terlalu tinggi buat dirinya yang bergaji harian sebagai pembantu gerai.
“Saya pernah menyewa selepas bercerai lima tahun lepas, tapi bayaran sewa RM400 sebulan terlalu tinggi. Selepas empat bulan, saya terpaksa bawa anak menumpang ke rumah emak walaupun segan kerana ada adik-beradik lain tinggal di situ.
“Alhamdulillah dengan rezeki ini... sejak kerja pembinaan rumah dijalankan, saya dan anak ada datang meninjau dari jauh kerana mereka juga tidak sabar untuk masuk ke rumah baharu,“ katanya.
Seorang lagi penerima Kamarulzaman Zakaria, 49, yang menetap di Kampung Banjir Batu 8 Lepar di sini, berkata pemberian Ru’RASA amat melegakan dirinya yang perlu berpindah dari rumah pekerja ladang kerana akan bersara tahun depan.-Bernama


