Agong Zahir Harapan Malaysia-Arab Saudi Tingkat Hubungan 2 Hala, Perpaduan Ummah

LocalPolitics
30 Jun 2023 • 10:07 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud - Gambar Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar Malaysia dan Arab Saudi mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan perpaduan ummah.

Seri Paduka menzahirkan harapan tersebut pada Majlis Jamuan Teh Petang yang dianjurkan oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Mina, semalam.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

“Dalam majlis yang berlangsung selama satu jam tersebut, Seri Paduka Baginda telah berkenan bertukar-tukar pandangan bersama Yang Amat Mulia Putera Mohammed dalam pelbagai perkara, termasuk hubungan dua hala yang telah terjalin dengan erat dan secara istimewa antara Malaysia dan Arab Saudi,” menurut catatan di Facebook Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Putera Mohammed atas persiapan rapi dan kejayaan kerajaan Arab Saudi menerima dua juta jemaah bagi musim haji tahun ini, iaitu jumlah terbesar semenjak COVID-19.

Pertemuan berkenaan juga adalah merupakan manifestasi hubungan akrab antara kedua-dua negara. - Bernama