Agong zahir takziah kepada keluarga bekas pemain polo negara

9 Jan 2024 • 11:08 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seri Paduka amat menghargai sumbangan Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada sukan polo negara. - Foto Instagram/Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pemain polo negara, Nordin Majid, yang meninggal dunia Ahad lepas.

Menerusi catatan di Instagram Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

"Seri Paduka mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

"Seri Paduka amat menghargai sumbangan Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada sukan polo negara,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Nordin adalah rakan sepasukan dalam skuad polo negara dan berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA Singapura pada 1983.

Nordin, 73, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, akibat jangkitan kuman. - Bernama