Agrobank salur RM24 juta bantu asnaf dan B40 dalam projek nanas MD2

18/08/2025 - 15:47
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) mencemar duli ke ladang tanaman nanas MD2 di Chuping baru-baru ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Agrobank memperuntukkan sebanyak RM24 juta untuk memperkasakan golongan asnaf dan B40 bagi melaksanakan projek penanaman nanas MD2 di tiga lokasi di seluruh negara.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program iTEKAD itu diadakan hasil kolaborasi dengan Aqina Fruits Sdn Bhd.
“Bagi projek di Chuping, Perlis dan Beaufort di Sabah, jumlah peruntukan masing-masing adalah sebanyak RM6 juta, manakala projek di Pekoti, Pahang menerima peruntukan tertinggi iaitu RM12 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Terbaharu, Agrobank menyampaikan geran iTEKAD berjumlah RM100,000 kepada 20 usahawan tani terpilih di Chuping, Perlis.
Beliau berkata, Agrobank, sebagai institusi kewangan pembangunan menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM280,000 bagi setiap peserta projek penanaman nanas sebagai modal permulaan.
“Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada golongan B40 dan veteran Angkatan Tentera Malaysia menerima geran iTEKAD sebanyak RM5,000 setiap seorang untuk pembelian peralatan tambahan.
“Mereka mengusahakan t tanah seluas 2.02 hektar yang disewa daripada Felda Global Ventures (FGV),” katanya.

Projek penanaman nanas MD2 itu adalah antara usaha berterusan Agrobank dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.
Selain itu, ia juga berperanan merangsang pertumbuhan sektor pertanian dan meningkatkan pengeluaran nanas negara bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan serta potensi eksport ke luar negara.
Melalui inisiatif iTEKAD, beberapa program telah diperkenalkan seperti program pembiayaan usahawan mikro di Johor, program rakan ladang BERNAS, program skim tanam semula kelapa sawit, serta program pemodenan vesel dan mekanisasi.
Program-program ini memberi tumpuan kepada pembangunan sosial usahawan dalam kalangan golongan asnaf dan B40 melalui gabungan tiga komponen utama termasuk penyediaan modal awal, pembiayaan mikro dan latihan kewangan. - DagangNews.com
standard
