Ahli Bersatu harus kembali ke pangkuan Umno untuk menyatukan Melayu, seru veteran Umno

LocalPolitics
24 Mar 2026 • 3:22 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

image is not available

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menyarankan agar ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kembali kepada asal-usul perjuangan mereka iaitu Umno bagi menamatkan pergolakan politik Melayu yang kini dilihat semakin meruncing dan mencabar.

Menurut beliau, situasi dalaman Bersatu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada dalam keadaan bergolak susulan krisis kepimpinan yang semakin terbuka yang melibatkan dakwaan cubaan mengambil alih kuasa serta isu melibatkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Kemuncak kepada pergolakan ini ialah pemecatan Hamzah, timbalan presiden Bersatu. Kemudian usaha Hamzah membawa pemimpin-pemimpin Bersatu yang pro kepadanya dengan kemungkinan beliau menubuhkan sebuah lagi parti baharu,” kata Mohd Yussof dalam satu kenyataan media hari ini.

Walaupun wujud dakwaan bahawa Bersatu kini cenderung ke arah kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), parti tersebut secara rasminya menafikan perkara berkenaan dan menegaskan pendirian untuk kekal di dalam Perikatan Nasional (PN).

Mohd Yussof menegaskan bahawa Bersatu pada hakikatnya adalah sebuah parti serpihan daripada Umno, di mana tokoh utama seperti Muhyiddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berasal dari akar umbi yang sama.

“Sebenarnya Parti Bersatu adalah serpihan daripada parti besar Melayu iaitu Umno. Muhyiddin, Azmin dan ramai ahli Bersatu berasal dari Umno.

“Mereka ‘berdarah’ Umno dan cara fikir pun cara Umno. Maka eloklah dengan segala kesedaran kembali kepada Umno,” kata Mohd Yussof, bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri pertama Pulau Pinang, Tan Sri Wong Pow Nee.

Menurut Mohd Yusoff, langkah ini dilihat selari dengan usaha Umno ketika ini yang sedang membina satu ‘keluarga besar’ bagi mengisi kelompongan perjuangan orang Melayu.

Penyatuan ini dianggap kritikal dalam menghadapi pelbagai cabaran politik negara, terutamanya yang melibatkan isu-isu besar dan sensitif seperti kewujudan kuil Hindu yang tidak sah.

“Muhyiddin dan Azmin mempunyai peranan besar untuk menguatkan Umno dan mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada Umno,” kata Mohd Yusoff, yang juga presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang.

Dengan pengaruh dan pengalaman ini, mereka boleh membawa arus perubahan yang diperlukan kepada agenda politik orang Melayu yang semakin mencabar ini, katanya lagi.

Beliau menyeru agar segala sengketa lalu dilupakan demi melihat senario yang lebih besar dan penting bagi masa depan bangsa. Pemimpin-pemimpin politik Melayu digesa untuk keluar daripada kepompong mementingkan diri atau kroni.

“Kembalikan kepercayaan orang Melayu kepada Umno dengan memperlihatkan penyatuan dan silaturahim yang ikhlas sempena bulan mulia Aidilfitri dengan bermaaf-maafan di kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu.”