
Form 6 masih tumpang sekolah biasa, ADUN Daro gesa pembinaan pusat khas pra-U untuk pelajar luar bandar
Ahli DUN Daro Gesa Bina Kolej Khas Untuk Pelajar Form 6 Luar Bandar. Pelajar Tingkatan Enam di kawasan luar bandar seperti Daro berhak menerima kemudahan pendidikan yang lebih baik dan tersusun.
Itulah gesaan ikhlas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad (GPS-Daro), yang menyeru agar Kementerian Pendidikan memberi keutamaan kepada pembinaan sebuah pusat khas atau kolej Form 6 di Daro.

Bercakap ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Safiee menegaskan bahawa keperluan untuk pusat pra-universiti yang lebih lengkap dan tersendiri semakin mendesak – terutamanya untuk memenuhi keperluan pelajar dari kawasan luar bandar.
“Buat masa ini, pusat Form 6 hanya menumpang di SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah. Pelajar terpaksa berkongsi kemudahan asas dengan pelajar sekolah menengah biasa,” katanya, menurut laporan media tempatan.
Pelajar dari kawasan lain juga terkesan
Safiee turut menjelaskan bahawa pusat tersebut kini menampung pelajar dari pelbagai sekolah berdekatan seperti SMK Matu, SMK Semop, dan SMK Belawai.
Namun, disebabkan kekangan ruang dan infrastruktur, pengambilan pelajar sangat terhad. Justeru, beliau menggesa agar pusat khas dengan kemudahan aliran sains dan teknologi serta asrama pelajar diwujudkan demi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menyeluruh.
“Pusat ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelajar sekitar Daro, malah meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk komuniti luar bandar dan membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti,” katanya lagi.
“Jangan mudah menilai kejayaan Sarawak dari jauh”
Dalam masa yang sama, Safiee menegur pihak-pihak tertentu yang dilihat terlalu mudah mengkritik Sarawak dan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, kritikan yang tidak berasaskan fakta, terutamanya dari Semenanjung Malaysia, hanya memperlihatkan kejahilan atau rasa cemburu terhadap kemajuan pesat negeri itu.
“Mereka ini mungkin tidak faham sejarah pembentukan Malaysia seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan IGC, atau mereka sengaja tutup mata kerana tidak mampu menerima kemajuan Sarawak,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa inisiatif tenaga lestari dan ekonomi hijau oleh Premier Sarawak bukan sahaja mengangkat nama negeri itu, malah membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Kejayaan Sarawak sepatutnya dijadikan teladan, bukan bahan cemuhan,” katanya.
“Ada juga yang cari publisiti dengan isu remeh”
Safiee turut menempelak segelintir ahli politik pembangkang yang menurutnya terlalu obses mencari kesalahan kecil demi meraih perhatian.
Beliau memberi contoh kontroversi baru-baru ini berkaitan penggunaan imej burung enggang – simbol kebanggaan Sarawak – pada rekaan kad oleh Affin Bank, yang didakwa digunakan sebagai bahan politik tanpa asas kukuh.
“Ada yang bertindak seperti pakar burung enggang semata-mata untuk menonjolkan diri. Ini bukan cara untuk memartabatkan identiti Sarawak,” katanya sinis.
Masa depan pendidikan luar bandar perlu diberi perhatian serius
Gesaan ADUN Daro ini membuka mata tentang betapa pentingnya menyediakan infrastruktur pendidikan yang setara untuk semua lapisan masyarakat, terutama sekali pelajar luar bandar yang sering terpinggir dari arus kemajuan.
Pusat Form 6 khas bukan sahaja satu keperluan, tetapi pelaburan jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai anak tempatan yang berpotensi ke peringkat universiti.
Baca juga artikel yang berkaitan dengan isu-isu semasa di Sarawak:




