
Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru semua ahli Gagasan Rakyat untuk menjadi ahli parti yang setia dan memperjuangkan usaha parti tanpa memikirkan kepentingan peribadi.
“Jadilah ahli parti yang setia, jika bersama dengan Gagasan Rakyat maka jadilah ahli parti ini dengan sepenuh hati, jangan ‘mendustai’ keahlian anda.
“Ini adalah sifat diri kita sendiri yang mana ini juga adalah lambang keperibadian kita,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa Biro Penerangan Gagasan Rakyat di sini, petang Rabu.
Menurut Nizam, kesetiaan ahli kepada perjuangan parti tidak dapat dinilai dengan mata kasar, namun boleh dipupuk dan dibuat andai niat asal bersama parti adalah ikhlas.
“Isu ada orang dalam parti yang ‘main banyak kolam’ ini wujud dan secara peribadi saya katakan, ini susah untuk dikenal pasti dan kita tidak tahu.
“Masing-masing punya hati tapi apa yang boleh saya katakan ialah; kalau ikut parti, jadi ahli, jadilah ahli yang ada etika dan pegangan, jangan jadi pengkhianat kepada parti,” katanya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu turut mengingatkan ahli Gagasan Rakyat agar tidak menjadi individu yang ‘bermain banyak kolam’ dan mengkhianati parti.
“Saya ingin menasihati dan mengingatkan kepada ahli Gagasan Rakyat, terutama yang terlibat dengan penerangan parti, jangan sampai kita kenalpasti anda adalah individu yang berselindung di sebalik akaun palsu, menjadi mata-mata kepada pihak lawan dan melaporkan apa yang kita bincangkan dalam aktiviti parti kepada pihak lain.
“Jika ada, tentunya kita akan ambil tindakan tataterbib mengikut prosedur dan perlembagaan parti kita,” ujar Nizam.

