Ahli Parlimen Bandar Kuching sedia bantu Kementerian Kesihatan lakukan pembaharuan

LocalPolitics
11 Dec 2022 • 6:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen (pix) menawarkan pengalaman beliau untuk membantu Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan timbalannya, Lukanisman Awang Sauni, dalam merealisasikan agenda serta pembaharuan penjagaan kesihatan negara.

Dr Yii, yang sebelum ini dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Kesihatan, Sains dan Inovasi, berkata beliau akan terus memainkan peranan di Dewan Rakyat untuk menggerakkan agenda kesihatan merangkumi Kertas Putih Kesihatan yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu demi kepentingan negara.

“Mereka kawan saya dan saya telah bercakap dengan Dr Zaliha minggu lepas untuk berkongsi pandangan mengenai perkara yang beliau boleh beri tumpuan terutama bagi tempoh 100 hari akan datang.

“Antaranya ialah perkara yang sedang kami lakukan dengan menteri terdahulu iaitu Khairy Jamaluddin dan diharapkan beliau boleh melaksanakannya secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa DAP Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata Dr Zaliha dan Lukanisman diberi peranan penting bagi menangani isu jangka panjang berkaitan sektor kesihatan seperti kekurangan dana dan pengabaian dalam sistem kesihatan di Malaysia.

Justeru Dr Yii berkata Menteri Kesihatan memerlukan sedikit masa untuk benar-benar memahami isu semasa dalam negara.

“Saya lebih suka beliau (Dr Zaliha) memahami (isu kesihatan) secara mendalam sebelum membuat komitmen berbanding membuat komitmen tanpa memahami isu yang berkaitan,” katanya. - Bernama