Ahli Parlimen cadang tubuh jawatankuasa kaji teknologi AI, perbaiki prestasi dalam PISA

28 Feb 2024 • 8:58 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menubuhkan satu jawatankuasa tindakan bagi mengkaji kesan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebelum ia digunakan secara meluas dalam negara.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata pengenalan teknologi AI boleh menyebabkan beberapa cabaran seperti pelanggaran hak cipta dan harta intelek, kesan kepada kelangsungan kerjaya pembuat kandungan dan pereka kreatif tempatan serta penularan maklumat palsu jika ia tidak dikawal selia.

“Tidak dinafikan AI mengubah hidup kita dengan banyak kebaikan, tetapi kita tidak boleh memandang enteng isu-isu yang berbangkit dengan AI,” katanya ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji kaedah meningkatkan kualiti pendidikan serta memperbaiki prestasi negara dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA).

Beliau berkata pelajar Malaysia kini ketinggalan dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris jika dibandingkan dengan negara lain yang menganggotai Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Kita berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA 2022, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Malah, kita terburuk dalam kalangan tujuh negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. -Bernama