
KUALA LUMPUR - Wakil rakyat atau Ahli Parlimen tidak seharusnya mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sebelum penggal perkhidmatan mereka berakhir.
Menegaskan perkara itu,Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab moral dan demokrasi untuk berkhidmat kepada rakyat sehingga mandat mereka berakhir.
Menurut beliau, seharusnya mereka bersimpati dengan rakyat, khususnya pengundi yang telah memberi kepercayaan untuk menggalas amanah berkenaan.
“Pada pandangan saya, rakyat mengharapkan wakil rakyat mereka kekal bersama mereka. Sekurang-kurangnya, mereka masih boleh berhubung dengan Ahli Parlimen jika tidak berpuas hati atau memerlukan bantuan.
“Mungkin mereka mempunyai sebab tertentu untuk berbuat demikian. Namun, saya berharap dalam Barisan Nasional, sesiapa yang mempunyai niat sama perlu menamatkan dahulu khidmat kepada rakyat,” katanya kepada media selepas melancarkan Inisiatif Mediasi Komersial Pro Bono 2026 oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.
Azalina menyatakan demikian sebagai mengulas pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa oleh Datuk Seri Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Nik amat berkuatkuasa hari ini.
Jelas beliau, mana-mana Ahli Parlimen seharusnya melaksanajan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh lima tahun yang diperuntukkan, selagi Parlimen belum dibubarkan.
“Selepas itu, jika ingin bertanding semula atau menyertai parti lain, itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi tambahnya, bercanggah dengan prinsip Akta Lompat Parti yang diperkenalkan bagi mengekang ketidakstabilan politik serta melindungi mandat pilihan raya.
Rafizi dan Nik Nazmi, kedua-duanya bekas pemimpin kanan PKR, semalam mengumumkan akan melepaskan kerusi Parlimen masing-masing sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meneroka platform politik baharu menjelang pilihan raya umum akan datang.
Peletakan jawatan itu dibuat walaupun penggal semasa Parlimen masih berbaki kira-kira 18 bulan sebelum pembubaran automatik berlaku.
Langkah tersebut mencetuskan perdebatan lebih luas sama ada wakil rakyat wajar dibenarkan mendapatkan mandat baharu di pertengahan penggal bagi tujuan penstrukturan semula politik, khususnya apabila pengundi sebelum ini memilih mereka di bawah tiket Pakatan Harapan.
Kenyataan Azalina turut mencerminkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin politik terhadap kesan peletakan jawatan tersebut ke atas kestabilan pentadbiran, perkhidmatan kawasan, serta keyakinan awam terhadap institusi demokrasi. - Getaran, 18 Mei 2026






