
Ahli Parlimen Jasin, Isteri Cedera Ringan Terlibat Kemalangan
ALOR GAJAH, 20 Jun (Bernama) -- Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail cedera ringan manakala isterinya mengalami sakit dada selepas kenderaan yang dinaiki kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jelatang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata dalam kemalangan kira-kira 5.20 pagi itu, Pesuruhjaya PAS Melaka berusia 60 tahun berkenaan memandu Nissan Teana dari arah persimpangan lampu isyarat Jelatang manakala sebuah Perodua Axia datang dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek.
Beliau berkata Perodua Axia itu dipandu seorang wanita berusia 30 tahun yang juga pekerja kilang dan kenderaan itu dinaiki bersama tiga lagi rakannya.
“Nissan Teana terbabit sedang meneruskan perjalanan di persimpangan lampu isyarat Jelatang sebelum dilanggar Perodua Axia yang masuk ke persimpangan berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, Zulkifli mengalami kecederaan ringan, iaitu luka pada kedua-dua tangan manakala isterinya mengalami sakit dada. Pemandu Perodua Axia pula mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan tulang pinggul,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad berkata pemandu Perodua Axia itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka manakala tiga lagi rakannya yang cedera ringan menerima rawatan di Hospital Alor Gajah. Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.






