Ahli Parlimen Machang persoal birokrasi halal JAKIM, jejas kerjasama luar

LocalPolitics
8 May 2025 • 10:57 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal mencetuskan perdebatan hangat di Dewan Rakyat apabila mencadangkan supaya peranan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dialihkan buat sementara waktu kepada pihak Majlis Pembangunan Halal Kebangsaan (NGCC) dan diletakkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, potensi industri halal negara seharusnya dimanfaatkan untuk mengembangkan eksport Malaysia. Namun, beliau mendakwa kerenah birokrasi dan kekangan dalam proses pensijilan halal JAKIM telah menjejaskan kelancaran kerjasama dengan rakan dagang luar.

“Saya boleh sahkan bersama YB Kota Raja, Dato Sri Mohamad Sabu, kami di Khazan dua tahun lepas, satu pentas dengan JAKIM. Tapi penerangan oleh wakil JAKIM amat mengecewakan,” katanya. Tambahnya lagi, pihak luar sering memberi teguran terhadap standard halal Malaysia yang dianggap sukar untuk dipenuhi.

Malah, beliau menyarankan agar NGCC mengambil alih peranan JAKIM dalam pensijilan halal secara sementara bagi mempercepatkan kemajuan perdagangan halal negara.

Cadangan tersebut bagaimanapun menerima teguran balas daripada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang tidak bersetuju dengan langkah drastik itu.

“Saya rasa tak wajar cadangan itu… lebih baik kalau kita perkasakan JAKIM itu sendiri. Setakat ini, apa yang JAKIM buat dengan pensijilan halal memang telah diiktiraf di peringkat dunia,” jelas Syahredzan.

Menteri MITI, YB Tengku Zafrul turut memberikan pandangannya, menekankan bahawa meskipun tiada cadangan untuk mengeluarkan JAKIM dari peranan sedia ada, proses pensijilan wajar diperbaiki.

“Ya, memang tak saya kata untuk kita setuju keluarkan JAKIM, cuma kita kena menambah baik proses kerana ada isu-isu yang boleh ditambah baik,” katanya ketika menggulung perbahasan.

Isu ini sekali lagi membuka ruang perbincangan mengenai kecekapan dan keberkesanan sistem pensijilan halal Malaysia, yang sering dilihat sebagai standard rujukan dunia namun juga dikritik atas kelewatan dan kekangan proses.