Ahli Parlimen Pasir Mas wajar mohon maaf, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan

LocalPolitics
29 Jul 2025 • 9:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ahli Parlimen Pasir Mas wajar mohon maaf, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan

image is not available

29/07/2025 - 09:17

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama-sama Hun Manet (kiri), dan Phumtham Wechayachai (kanan) di Putrajaya kelmarin. - Foto ihsan Muhammad Kamil Abdul Munim Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Julai — Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat Thailand dan Kemboja kerana biadab menghina pemimpin mereka dengan imej haiwan.

Ia disuarakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang kecewa dengan hantaran pemimpin pembangkang itu berhubung usaha proses gencatan senjata dilakukan oleh Malaysia.

Kata beliau, Ketua Penerangan Pas itu perlu meminta maaf secara terbuka kepada kedua-dua negara tersebut apabila dilihat memperlekehkan isu pertelagahan pemimpin mereka yang menyerupai binatang.

"Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan bebal individu yang tiada secebis rasa hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran," katanya menerusi hantaran dalam media sosial.

Kelmarin, Ahmad Fadhli menyindir proses rundingan gencatan senjata dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya susulan konflik antara dua negara itu sejak 24 Julai 2025.

Beliau menyamakan Anwar seperti monyet manakala Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai masing-masing kambing dan biri-biri berebut pisang.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menyifatkan bekas Ketua Pemuda Pas itu sebagai lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan yang membanggakan negara apabila mempertikai usaha Anwar.

image is not available
LAKARAN imej haiwan dalam hantaran yang digunakan Ahmad Fadhli Shaari sebagai merujuk imej tiga pemimpin dalam proses gencatan senjata di Putrajaya kelmarin.

"Saya ingin tegaskan bahawa usaha ini bukan soal parti atau politik individu. Ini soal maruah negara. Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ASEAN," tambahnya.

Dunia katanya, menyambut baik usaha itu dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, hingga ke seluruh komuniti Asia Tenggara tetapi pembangkang kita pula memilih menjadi sinis dan pesimis.

Justeru beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan mengingatkan pembangkang yang lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik sebesar itu berjaya digerakkan untuk dicapai.

Sebaliknya, apabila Malaysia di bawah Kerajaan MADANI melakar diplomasi di persada antarabangsa dan memain peranan aktif menyelesaikan pertelagahan, pembangkang menyemai kebencian dan dendam.

"Inilah politik sempit yang kita tolak, usah benarkan suara sumbang terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara. Tindakan mereka itu tidak patriotik dan memalukan negara," kata Muhammad Kamil.

Tambahnya, tuntutan Islam itu yang dipegang Ahmad Fadhli sendiri sepatutnya meraikan pendamaian, tetapi disanggah dengan kebencian politik serta jauh menyimpang dari ajaran dan ajaran agama.

Beliau menegaskan, Malaysia akan terus melangkah menjulang nama dengan diplomasi, bukan retorik kosong serta percaya pada penyelesaian yang berasaskan kemanusiaan, bukan kebencian. - DagangNews.com

standard