SHAH ALAM - Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara rasmi pada Jumaat.
Chean Chung berkata, keputusan itu dibuat selepas 18 tahun menyertai parti berkenaan dan lapan tahun menggalas jawatan di peringkat pusat parti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal sebagai anggota parti dan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.
“Setelah 18 tahun menyertai PKR dan lapan tahun menyandang jawatan di peringkat pusat parti, hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli MPP.
"Namun saya kekal sebagai anggota parti dan akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai antara punca tindakan tersebut dilakukan, Chean Chung menjelaskan, ia susulan pembatalan akses kepada sistem MyKhas bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya pada 29 Mei lalu.
“Pengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya yang saya wakili telah dihukum pada 29 Mei 2026 apabila akses kepada sistem MyKhas dibatalkan.
“Hal itu menyebabkan kami tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan Program Mesra Rakyat,” jelasnya.
Beliau turut mempersoalkan janji Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan menyediakan dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti.
“Tuntutan saya sangat mudah. Saya berharap parti dapat memberikan satu penjelasan yang munasabah.
“Sehingga kini, hanya seorang Timbalan Setiausaha Agung membuat kenyataan media menyatakan bahawa ini adalah akibat daripada pilihan politik, sedangkan PKR masih belum memberikan sebarang penjelasan rasmi kepada saya dan para pengundi,” katanya.
Beliau berkata, situasi politik parti itu sudah tidak sama berbanding era awal perjuangan parti tersebut.
“PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu. Barisan kepimpinan, demi mempertahankan kedudukan masing-masing, tidak sanggup tampil untuk membetulkan kesilapan parti.
“Saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berada dalam kepimpinan dan bekerjasama dengan mereka,” katanya lagi.
Tambah Chean Chung, selepas pengunduran daripada jawatan tersebut, beliau akan melaksanakan tanggungjawab menyemak imbang kerajaan termasuklah memastikan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) reformasi pada bulan Jun dibentang dan diluluskan di Parlimen.
“Selepas meletakkan jawatan parti, saya akan terus menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen atas kapasiti ahli biasa parti, untuk menyemak imbang kerajaan.
“Juga memastikan beberapa rang undang-undang reformasi pada Jun iaitu had tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Akta Kebebasan Maklumat akan dibentang dan diluluskan,” jelasnya.






