Ahli Parlimen PKR, Wong Chen pengerusi baharu Malaysia Debt Ventures

Business & Finance
24 May 2023 • 2:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ahli Parlimen PKR, Wong Chen pengerusi baharu Malaysia Debt Ventures

diyana

24/05/2023 - 14:27

KUALA LUMPUR 24 MEI - Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) telah melantik Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu MDV berkuat kuasa 23 Mei 2023.

Ahli Parlimen PKR itu dilantik bagi menggantikan Khairul Azwan Harun selepas tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember 2022.

MDV merupakan nak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Dengan pengalaman dan kepakaran Chen yang luas, MDV yakin boleh terus meningkatkan prestasi dalam membangunkan syarikat berasaskan teknologi serta syarikat pemula teknologi di Malaysia.

“MDV juga menghargai Khairul Azwan Harun atas segala jasa, bimbingan dan sumbangan beliau selama tiga tahun di MDV,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Chen mempunyai pengalaman lebih 22 tahun sebagai bekas peguam korporat dengan pengkhususan dalam bidang perundangan Teknologi Maklumat, serta penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Beliau telah mendapat pendidikan di United World College of Southeast Asia, Singapura dan kemudian telah melanjutkan pelajaran serta memperoleh ijazah perundangan dari University of Warwick, UK.

Selain daripada mempunyai minat yang mendalam dalam hal ehwal berkaitan perubahan iklim dan hak asasi manusia, beliau turut mempunyai kepakaran dalam bidang fiskal, ekonomi, perdagangan antarabangsa dan penggubalan polisi.

Wong Chen pada ketika ini sedang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Subang bagi penggal yang ketiga dan juga telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Dan Perdagangan Antarabangsa serta Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) bagi Pendanaan Politik.

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan & Ekonomi dan pernah berkhidmat sebagai ahli dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selama dua tahun.

Selain itu, beliau turut menganggotai pertubuhan antarabangsa termasuk menjadi ahli High-Level Working Group on Science & Technology of the Inter-Parliamentary Union (IPU), mewakili rantau Asia Pasifik, dan bergiat aktif sebagai ahli kanan pertubuhan ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR).

Beliau juga merupakan salah seorang daripada pengasas pertubuhan Southeast Asian Community group (SEAC). -DagangNews.com