Ahli Parlimen PN mahu taklimat tertutup perjelas ketirisan maklumat susulan penahanan 5 pegawai ATM

LocalPolitics
17 Aug 2025 • 5:08 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz meminta supaya wakil rakyat diberikan penjelasan atau taklimat khas secara tertutup di Parlimen, berhubung ketirisan maklumat susulan tangkapan melibatkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Sohor baru-baru ini.

Ikmal, yang juga Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen PN berkata, ia bagi memberikan pemahaman terperinci mengenai ketirisan yang berlaku melibatkan pegawai ATM dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan Keselamatan dan Pertahanan memanggil Kementerian Pertahanan (MINDEF) khususnya Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).

Sambil menyatakan kebimbangan, Ahli Parlimen Tanah Merah itu memberitahu, mereka yang ditahan itu adalah pegawai kanan yang bertanggung jawab secara langsung di dalam usaha kawalan dan pengendalian maklumat risikan samada secara fizikal ataupun siber.

“Pegawai-pegawai ATM yang ditahan ini adalah dari Kor Risik ataupun lebih tepat lagi anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) iaitu salah satu cabang penting ATM dan salah seorang suspek juga mempunyai pertalian darah dengan bekas Panglima Tentera Darat sebelum ini.

“Timbul persoalan apakah kompromi lain juga berlaku bukan hanya mengenai maklumat rondaan unit-unit tentera di kawasan selatan tanah air, tetapi juga maklumat penting lain berkaitan isu-isu yang lebih runcing dan lebih penting seperti Laut China Selatan dan aspek kesiagaan tentera.

“Apatah lagi mereka yang ditahan ini disyaki telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun yang lalu,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air dan dipercayai mengumpul hasil rasuah lebih RM3 juta, pada 13 Ogos lalu.

Menurut sumber SPRM, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia antara 30 hingga 55 tahun ditangkap di sekitar lembah Klang, dalam Op Sohor itu.

Siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia, membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.

Mengulas lanjut, Ikmal berkata, beliau juga ingin tahu sama ada tindakan counter-intelligence (risik-balas) untuk menutup ketirisan yang telah dilakukan oleh MDIO dan juga MINDEF selepas operasi mereka ini terbongkar.

“Saya percaya Panglima Angkatan Tentera (PAT) akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk membersihkan ATM daripada sebarang masalah rasuah yang juga unsur subversif yang boleh mengancam aspek keselamatan dan kedaulatan negara daripada dalam pasukan,’’ katanya. - 17 Ogos, 2025