Ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dikesan di Shanghai, guna pasport palsu

LocalPolitics
19 Jul 2025 • 12:00 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Kedudukan dalang utama skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, akhirnya dikesan dan didedahkan selepas lebih empat tahun menghilangkan diri.

Jho Low yang menjadi buruan pihak berkuasa antarabangsa, dikatakan menetap di kawasan elit di Shanghai, China dan dipercayai menggunakan pasport palsu Australia.

Pendedahan ini dibuat dua wartawan penyiasatan yang membongkar skandal kewangan terbesar 1MDB, Bradley Hope dan Tom Wright menerusi khas 'Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright' menerusi saluran YouTube, malam tadi.

Menerusi pendedahan itu, Jho Low dilaporkan menetap di rumah agam di kawasan eksklusif Green Hills dan menjalani kehidupan elit serta mewah.

Jho Low yang turut diburu pihak berkuasa Malaysia, dikatakan berperanan membantu syarikat yang berdepan sekatan antarabangsa untuk terus beroperasi di peringkat global.

Melalui penyiasatan dilakukan dua wartawan antarabangsa itu juga, Jho Low didakwa beroperasi dari pejabatnya di Pusat Kewangan Shanghai, meskipun Malaysia masih giat menuntut proses ekstradisinya.

Lebih mengejutkan, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa Jho Low kini berperanan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China.

Jho Low kerap dikaitkan sebagai dalang utama skandal kewangan 1MDB yang mengejutkan dunia, membabitkan penyelewengan berjumlah AS$7.65 bilion.

Terdahulu media melaporkan, sejumlah AS$2.5 didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Jho Low.

Ahli perniagaan itu dikenali gemarkan kemewahan dan kerap dilihat berparti dengan selebriti Hollywood, selain dikatakan membiayai filem 'The Wolf of Wall Street' lakonan Leonardo DiCaprio.

Media juga sedang giat mendapatkan maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkembangan terbaharu ini. - 19 Julai, 2025