PUTRAJAYA - Selepas hampir dua tahun prosiding berlangsung, ahli perniagaan yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret di sini pada Khamis melepas tanpa dibebaskannya (DNAA) daripada tuduhan kes ugutan jenayah.
Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin memutuskan demikian selepas dimaklumkan pengadu dalam kes berkenaan gagal hadir untuk memberi keterangan terhadap Mohamad Riza Makar, 41.
Pada 18 September 2024, Mohamad Riza mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan melakukan ugutan iaitu menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia ketika kejadian 25 tahun, dengan niat menyebabkan kegentaran, di tempat letak kenderaan di Presint 4, di sini, jam 10 malam pada 9 September tahun sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Selepas prosiding, peguam, Shahruddin Othman dan Boestamam Ahmad yang mewakili Mohamad Riza berkata, pembelaan memohon supaya anak guam mereka dilepas dan dibebaskan (DNA) sepenuhnya selepas pengadu gagal hadir ke mahkamah pada Khamis termasuk 27 Ogos lalu.
Boestamam berkata, pengadu sebelum ini telah hadir ke mahkamah, namun pendakwaan mahu memanggilnya untuk memberikan keterangan semula.
“Pihak pembelaan berhujah bahawa, meneruskan prosiding hanya akan membuang masa dan mengekalkan pendirian untuk meneliti semula pertuduhan berkenaan.
“Justeru, Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk DNAA,” katanya.
Sementara itu, biarpun terpaksa melalui proses perundangan yang lama, Mohamad Riza bersyukur kerana tidak disabitkan atas kesalahan terbabit.
Menurutnya, turun-naik mahkamah dalam tempoh lama memberi kesan besar terhadap kehidupan peribadi, reputasinya termasuk imej keluarga, pekerjaan serta kewangannya.
“Saya berharap dengan berakhirnya kes ini, masyarakat dapat memahami bahawa saya telah melalui proses undang-undang dan kini nama saya tidak sepatutnya terus dikaitkan dengan tuduhan tersebut seolah-olah saya telah disabitkan bersalah.
“Saya percaya kebenaran akan sampai pada waktunya,” katanya.
Riza turut berkata, demi keadilan serta mempertahankan nama baik diri bersama keluarga, pihaknya mempertimbangkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu.
Katanya, sebarang tindakan akan dilakukan menerusi saluran undang-undang dan bukan berdasarkan emosi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, sahabat serta semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi.






