Ahli perniagaan rugi RM1.25 juta dalam pelaburan klon

LocalBusiness & Finance
25 Jan 2026 • 9:59 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Seorang ahli perniagaan kerugian RM1.25 juta dalam skim pelaburan klon selepas terpedaya iklan di Facebook dan aplikasi palsu yang menjanjikan keuntungan besar.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan tempatan kerugian RM1.25 juta selepas terperdaya skim pelaburan klon yang didalangi sindiket penipuan dalam talian.

Mangsa berusia 50 tahun itu tertarik menyertai skim itu selepas melihat iklan di Facebook dan menyertai kumpulan WhatsApp pada Oktober tahun lepas.

Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi pelaburan palsu yang memaparkan keuntungan atas kertas sehingga mencecah RM16.7 juta.

Terpengaruh dengan paparan itu, mangsa melakukan 23 transaksi berjumlah RM1.25 juta ke beberapa akaun bank tempatan milik pihak ketiga dari Oktober hingga Disember 2025.

Mangsa berasa ditipu selepas kemudian diminta membayar yuran tambahan sebanyak RM4.5 juta untuk mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.

Semakan mendapati pelaburan itu tidak mempunyai kaitan dengan firma kewangan dan pelaburan antarabangsa dengan nama hampir sama yang berpangkalan di Hong Kong.

Mangsa membuat laporan polis pada 6 Januari berikutan penemuan itu.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman turut memaparkan senarai syarikat yang dimasukkan ke dalam 10 teratas pangkalan data Semakmule CCID sehingga 15 Januari.

Berdasarkan data itu, sebanyak 111 laporan diterima melibatkan syarikat tersebut dalam tempoh sebulan.

JMC M Trading Venture dan JMC Top Trading mencatatkan laporan tertinggi, iaitu masing-masing 20 laporan.

Ia diikuti CVC Grow Star Sdn Bhd (16 kes) dan KGI HK Sdn Bhd (15 kes).

JSJK memaklumkan status pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bukan jaminan keselamatan transaksi.

Akaun syarikat atau perniagaan berdaftar juga berpotensi disalahgunakan sebagai akaun keldai bagi aktiviti penipuan pelaburan.

Orang ramai dinasihatkan membuat semakan di semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan transaksi.

Mereka juga dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat.