Ahli Persatuan Penerbit Filem Malaysia kini layak mohon pembiayaan patuh syariah Tekun Niaga

LocalMovie
6 Oct 2025 • 3:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ahli Persatuan Penerbit Filem Malaysia kini layak mohon pembiayaan patuh syariah Tekun Niaga

image is not available

06/10/2025 - 15:57

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) TEKUN, Aishamuddin Zulkefli (kiri) dan Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt – Persatuan Penerbit Filem Malaysia (FDAM) memeterai kerjasama strategik dengan TEKUN Nasional bagi membuka akses kepada pembiayaan patuh syariah untuk menyokong pembangunan projek penerbitan tempatan.

Menerusi inisiatif itu, ahli FDAM kini berpeluang memohon Pembiayaan Skim Kontrak-i dan Skim Tekun Niaga, yang disifatkan sebagai langkah penting bagi mengatasi kekangan modal yang sering dihadapi penggiat industri kreatif.

Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki berkata, kerjasama tersebut merupakan hasil rundingan strategik yang berjaya dicapai untuk dimanfaatkan ahli persatuan, khususnya dalam menjayakan projek penerbitan baharu.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen FDAM dalam memperjuangkan kepentingan ahli serta memastikan kesinambungan karya penerbit tempatan.

“FDAM amat memahami kesukaran ahli memperoleh pembiayaan, terutamanya ketika mereka sedang menyiapkan kertas kerja untuk pembentangan di RTM pada awal Oktober ini.

“Kerjasama ini hadir tepat pada masanya sebagai sinar baharu buat penggiat industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan pembiayaan patuh syariah itu bukan sahaja menjamin ketelusan urus niaga, malah membolehkan penerbit menumpukan perhatian kepada penghasilan karya yang berkualiti, berdaya saing serta mempunyai potensi komersial yang tinggi.

Menurutnya lagi, akses kepada skim strategik ini juga akan memperkukuh integriti produksi dan meningkatkan keupayaan penerbit tempatan dalam industri perfileman dan penyiaran negara.

“FDAM percaya, kerjasama dengan TEKUN Nasional akan menjadi pemangkin kepada kelangsungan projek jangka panjang, sekali gus mengangkat martabat penggiat seni tanah air sebagai penerbit yang profesional dan berwibawa,” ujarnya.- DagangNews.com

standard