KUALA LUMPUR - Semua ahli politik perlu mengubah pola pemikiran ke arah berorientasikan penyelesaian, jika mahu negara melalui reformasi mutlak.
Timbalan Setiauasaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid berkata, seorang Perdana Menteri bertanggungjawab memastikan negara berada di landasan yang benar, sekali gus membuat keputusan eksekutif paling optimal menurut hemat beliau.
Namun katanya, tanggungjawab kolektif bersama barisan jemaah menteri juga harus diambil kira, bukan hanya sekadar meletakkan beban negara ke atas seorang individu.
“Sifat kebertanggungjawaban atau accountability merupakan aspek utama di dalam sesebuah kerajaan.
“Sukar bagi rakyat Malaysia untuk melangkah ke hadapan jika asyik hendak mengkritik tanpa menilai perubahan yang berlaku pada masa yang sama,” katanya.

Jelas Aidi Amin, kerajaan tidak pernah bersifat defensif, tetapi sebarang kritikan juga harus disusuli dengan keterbukaan semua pihak untuk mengakui beberapa masalah legasi yang berjaya ditangani.
“Rasionalisasi subsidi bagi mengelak ketirisan bahan api, penyaluran semula penjimatan kepada penambahan bantuan SARA dan STR, di samping bantuan tambahan one-off RM100 kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas, Malaysia kini juga hampir mencapai kadar sifar kemiskinan tegar dengan baki 0.09 peratus disasarkan selesai sebelum suku pertama tahun 2026,” katanya.
Tegas beliau, banyak pencapaian lain boleh disenaraikan dan berjaya direalisasikan, hasil kestabilan politik Kerajaan Madani berbanding pentadbiran terdahulu.
“Reformasi adalah proses berterusan dan realiti hubungan kesepakatan politik di dalam sebuah kerajaan perpaduan juga harus dititikberatkan.
“Jahil bagi seorang ahli politik untuk terlalu meremehkan apa yang perlu diusahakan oleh Perdana Menteri kita sepanjang tempoh pentadbiran beliau sepanjang tiga tahun ini,” katanya. - Getaran, 9 Disember 2025
