
KUALA LUMPUR: Keputusan DAP sama ada kekal dalam Kabinet atau sebaliknya, bukan kerana tidak senang dengan Barisan Nasional (BN) yang dilihat ‘tikam belakang’ sewaktu kempen pilihan raya negeri (PRN) semata-mata.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari percaya ia disebabkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran dan tadbir urus kerajaan secara keseluruhan.
Katanya, DAP telah menyatakan prinsip dan pandangan terhadap isu-isu yang berlaku dan apabila tindakan tidak diambil, ia menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan perwakilan dan akar umbi DAP.
“Beberapa isu telah kita suarakan, contohnya isu korporat mafia, Gobind Singh Deo telah pun menyuarakannya, tiada tindakan diambil. Ada beberapa pihak tertentu yang memainkan peranan penting yang menjadi pertikaian tetapi didiamkan.
“Isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan membabitkan pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang banyak pihak berpandangan ia perlu dibuat segera, juga tidak dilakukan.
“Jadi, kita hendak maklumkan bahawa DAP ini sebuah parti yang mempunyai prinsip dan kita tidak mahu menjadi parti yang lembab serta disebut sebagai parti yang hanya menurut perintah. Malah, kita juga tidak mahu digelar sebagai ‘MCA 2.0’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Abdul Aziz, jika DAP memilih untuk keluar Kabinet, parti itu boleh berperanan sebagai semak dan imbang dalam menambah baik pentadbiran kerajaan.
“Kita akan tetap menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai backbenchers tetapi DAP boleh mengkritik pentadbiran kerajaan secara lebih terbuka jika kita keluar Kabinet,” katanya.
DAP akan mengadakan Persidangan Kebangsaan pada 16 Ogos ini untuk memutuskan sama ada parti itu akan terus kekal atau keluar daripada kerajaan bagi baki penggal Parlimen semasa.
Usul penting itu akan diputuskan melalui undi sulit oleh hampir 4,000 perwakilan yang hadir.
Abdul Aziz berkata, jentera Pakatan Harapan (PH) yang tidak tersusun juga antara perkara yang sering menjadi pertikaian akar umbi DAP.
“Konflik dalaman parti gabungan ini turut menyumbang kepada jumlah kerusi yang sangat berkurang jika dibandingkan dengan DAP. Perlu diingat, sekarang adalah waktu-waktu kritikal yang tidak patut ada masalah dalaman parti.
“Apabila Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedikit sebanyak memberi kesan, Parti Amanah Negara (Amanah) juga tidak menyumbang kerusi, perkara ini semua perlu diambil kira,” katanya.
Jelasnya, walaupun kerajaan hari ini bukan kerajaan PH sepenuhnya tetapi komitmen yang ditunjukkan perlu bersih daripada sistem dan unsur yang tidak demokratik.
“Perdana Menteri tidak harus terlalu mendengar dalih UMNO. Lagipun, kalau UMNO keluar kerajaan, Kerajaan Perpaduan tetap kekal dan tidak jatuh,” katanya. – UTUSAN
The post Ahli tak puas hati tadbir urus kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.


