Ahmad Maslan nasihat jentera BN jangan terlalu yakin, usaha mesti diteruskan hingga saat akhir

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 4:28 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Ahmad Maslan nasihat jentera BN jangan terlalu yakin, usaha mesti diteruskan hingga saat akhir

REMBAU – Walaupun menerima pelbagai laporan positif sepanjang tempoh berkempen, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu yakin sehingga mengabaikan usaha meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian.

Maslan berkata, baki tempoh kempen perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana segala kemungkinan masih boleh berlaku sebelum pusat mengundi ditutup pada hari pengundian.

“Kita jangan over confident, jangan terlebih yakin. Walaupun kita melakukan langkah strategik dan kita rasa boleh menang, tetapi hari belum berakhir. Kemungkinan mereka ada membuat kejutan yang kita tidak fikir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis makan tengah hari di Kampung Kundur Hulu, Rembau, hari ini.

Menurut Maslan, jentera di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu terus aktif menjalankan gerak kerja sehingga tamat tempoh berkempen dan bukannya menganggap tugas selesai lebih awal.

“Kerja pilihan raya ini tidak habis pada tengah malam hari Jumaat. Kerja pilihan raya ini hanya habis apabila pintu pagar pusat mengundi ditutup pada pukul 6 petang hari Sabtu,” katanya.

Maslan turut menggesa jentera memastikan bendera parti dipasang dengan baik, memperkemaskan operasi di kawasan masing-masing serta meneruskan aktiviti ziarah rumah ke rumah bagi bertemu seramai mungkin pengundi.

“Kita kena terus berusaha dan berusaha. Cari orang berpengaruh di kawasan masing-masing dan temui mereka. Kalau ada pengundi yang kita belum pergi, pergilah dalam tempoh yang masih berbaki,” katanya.

Dalam pada itu, Maslan berkata, BN mempunyai rekod membangunkan Negeri Sembilan dan negara melalui pelbagai projek serta kemudahan yang dinikmati rakyat sejak sekian lama.

“Barisan Nasional yang memberikan segala pembangunan, kecil dan besar di Negeri Sembilan dan di Malaysia ini. Oleh itu, kita hanya meminta pengundi mengingati sedikit jasa Barisan Nasional dan pangkahlah Barisan Nasional,” katanya.

Mengulas mengenai landskap politik semasa, Maslan turut mendakwa Pakatan Harapan (PH) didominasi oleh DAP berdasarkan komposisi parti dalam gabungan tersebut, selain menggesa orang Melayu memperkukuhkan perpaduan bagi mengelakkan perpecahan undi.

Beliau berkata, perpaduan dalam kalangan orang Melayu penting bagi memastikan BN terus berpeluang membentuk kerajaan dengan sokongan rakan-rakan gabungan lain.

The post Ahmad Maslan nasihat jentera BN jangan terlalu yakin, usaha mesti diteruskan hingga saat akhir appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved