
KUALA LUMPUR - Kerajaan Terengganu menegaskan ia mempunyai kuasa penuh mengambil tindakan terhadap Felda susulan kegagalan menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah membabitkan kawasan ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, tanah yang diusahakan FGV di Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun itu masih kekal sebagai hak milik kerajaan negeri kerana Felda belum memenuhi syarat ditetapkan, termasuk memasukkan peneroka.
Menurutnya, walaupun Felda pernah membuat bayaran premium dan cukai sekitar 2009, kerajaan negeri memulangkan semula pembayaran itu kerana syarat utama — memasukkan lebih 3,000 peneroka bagi menangani kemiskinan tegar — tidak dipenuhi.
Ahmad berkata demikian ketika mengulas tindakan kerajaan negeri mengeluarkan notis pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, yang dipasang serentak di 10 lokasi awal minggu ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim memaklumkan tindakan itu diambil selepas Felda gagal memberi maklum balas terhadap tuntutan pembayaran 30 peratus hasil keuntungan tanah kerajaan negeri yang diterokai sejak lebih 40 tahun.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu, Dr Azman turut mendedahkan Felda gagal menjelaskan anggaran RM600 juta merangkumi cukai, premium dan perkongsian keuntungan sejak mula meneroka tanah berkenaan.
Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman berkata isu itu bukan baharu, malah pernah dibangkitkan pada Persidangan DUN Ogos 2010 ketika beliau menerajui kerajaan negeri.
Katanya, ketika itu kerajaan negeri menjelaskan bahawa pembangunan Felda di kawasan terbabit dijalankan tanpa kelulusan lengkap, menyebabkan negeri tidak menerima premium tanah, cukai tahunan dan hasil lain.
"Kita pernah mengeluarkan ketegasan pemberian geran hak milik hanya akan dikeluarkan jika Felda memasukkan peneroka sebagai memenuhi syarat iaitu membayar perkongsian keuntungan atau menyumbang kepada Program Basmi Kemiskinan," katanya.
Ahmad turut mengesahkan Felda pernah mengemukakan rayuan berikutan kerugian dialami, namun kerajaan negeri mencadangkan syarat tambahan termasuk memberi peluang kepada anak syarikat kerajaan negeri menjadi pemegang saham.
“Setakat ini, kita belum menerima maklumat mengenai jumlah anak syarikat kerajaan negeri yang ditawarkan saham oleh Felda,” katanya lapor BH.
Mengulas tindakan terbaharu kerajaan negeri, Ahmad menegaskan selagi Felda tidak memperoleh geran hak milik, tanah berkenaan kekal sebagai milik kerajaan Terengganu dan tertakluk kepada undang-undang negeri. - 7 Disember, 2025
The post Ahmad Said dedah Felda usahakan tanah secara haram, syarat peneroka tidak dipenuhi appeared first on Scoop.

