KOTA BHARU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar perlu dilantik sebagai Presiden Pas terlebih dahulu sebelum layak mengetuai Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, berpandukan perlembagaan, pengerusi PN perlu setaraf dengan pengerusi parti komponen.
“Jika mahu melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN, beliau perlu menjadi Presiden Pas.
“Ketika ini, beliau hanyalah Naib Presiden Pas,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas desas-desus bahawa Naib Presiden Pas itu bakal dilantik sebagai Pengerusi PN bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan tersebut baru-baru ini.
Perkara itu tercetus selepas Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman memuat naik gambar pertemuan antara Muhyiddin dan Ahmad Samsuri yang disertai kapsyen ringkas sehingga mencuri perhatian pada Selasa.
Sinar Harian pada 30 Disember lalu melaporkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sokongan kepada saya sepanjang tempoh saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu,” katanya.

