Ahmad Samsuri umum portfolio 10 Exco Terengganu

Politics
16 Aug 2023 • 1:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Samsuri bersama 10 Exco di Wisma Darul Iman pada Rabu.

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan senarai portfolio 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang memegang portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.

ADUN Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat pula menerajui portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.

Sementara itu, portfolio Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berada di bawah tanggungjawab Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga ADUN Wakaf Mempelam.

Ahmad Samsuri turut mengumumkan, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk) memegang portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah manakala ADUN Jabi,

Dr Azman Ibrahim menerajui portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi.

ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dilantik memegang portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, manakala ADUN Chukai, Hanafiah Mat menerajui portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar.

Selain itu, ADUN Ajil, Maliaman Kassim dilantik sebagai Exco untuk memegang portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional.

ADUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim pula menerajui portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO), manakala ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman memegang portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Exco muka baharu yang juga satu-satunya wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik Exco ialah Datuk Razali Idris dari DUN Kijal memegang portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Ketika mengumumkan senarai portfolio itu, Ahmad Samsuri berkata, semua barisan Exco yang dilantik dan diberi tanggungjawab dengan portfolio masing-masing perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan dengan segera secara baik.

"Kita lakukan penjenamaan baharu jawatankuasa Exco ini setelah mengambil kira pandangan daripada agensi selain melihat perubahan berlaku di peringkat kementerian di Putrajaya.

"Jadi untuk memudahkan gerak kerja di peringkat negeri selain mahu selarikan gerak kerja di peringkat kementerian supaya mereka (Exco) boleh berhubung dengan agensi masing-masing yang sesuai dengan tanggungjawab Exco maka kita lakukan penjenamaan nama jawatankuasa Exco tersebut," jelasnya.

Barisan 10 Exco Kerajaan Terengganu telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: