
PUTRAJAYA - Peguam Negara yang baharu dilantik, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memulakan tugas rasminya pada pagi ini.
Beliau yang memakai sut hitam tiba di pejabatnya jam 8.15 pagi dan disambut oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Almalena Sharmila Johan serta ketua-ketua bahagian Jabatan Peguam Negara (AGC).
Seterusnya, Ahmad Terrirudin melakukan daftar masuk kehadiran menerusi sistem dalam talian.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan Ahmad Terrirudin, 54, selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan Ahmad Terrirudin itu sekali gus mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai kanan AGC.
Sebelum ini tiga penyandang terdiri daripada orang luar bermula Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Tommy Thomas dan Tan Sri Idrus Harun yang masing-masing adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam.
Kali terakhir Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan agensi itu adalah Tan Sri Abdul Gani Patail yang memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.
AKAN MENYUSUL

