Ahmad Zahid akan kemuka cadangan letak Felda di bawah KKDW kepada PM

LocalPolitics
19 Dec 2024 • 4:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) melihat proses pembuatan lateks di Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi pada Khamis.

image is not available
Ahmad Zahid (duduk, tiga dari kanan) mendengar taklimat mengenai Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi.

BENTONG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa sendiri cadangan supaya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ke Kabinet.

Beliau yang juga Menteri KKDW berkata, cadangan itu akan dibawa selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya akan kemukakan kepada PM terlebih dahulu dan saya sendiri akan bawa ke Kabinet bila PM setuju.

"Hasil keputusan pemukiman pada Sabtu lalu namun dari segi pentadbirannya pengurusan Felda di bawah saya selaku Timbalan Perdana Menteri tapi bukan KKDW (kerana ia) dua perkara berbeza.

"Keputusan pemukiman begitu (diambil) supaya penyelarasan boleh dilakukan sebaik-baiknya," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Felda kini di bawah Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF) Jabatan Perdana Menteri.

Terdahulu, beberapa ahli Parlimen antaranya Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengusulkan Felda dikawal selia KKDW bagi memudahkan koordinasi dengan RISDA dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA).