
ALOR GAJAH, 10 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menzahirkan penghargaan kepada Anthony Loke atas sumbangannya sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan.
Ahmad Zahid turut menyifatkan Loke sebagai seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada prinsip dan pendiriannya.
“Saya mengucapkan terima kasih selama beliau sebagai anggota Jemaah Menteri. Kebetulan beliau duduk sebelah kanan saya dalam Mesyuarat Kabinet, dan kami akan kehilangan beliau dalam Kabinet.
“… dan saya mengucapkan selamat maju jaya (kepada Loke) berada di luar kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Melaka 2026 di sini, hari ini.
Terdahulu, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.
Setiausaha Agung DAP itu berkata keputusan berkenaan selaras dengan pendirian yang diumumkannya Jumaat lepas.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Najib, 73, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib.
Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengulas mengenai keputusan mahkamah itu, Ahmad Zahid berharap ia dapat menamatkan segala polemik berhubung perkara berkenaan yang berlaku sebelum ini.
Beliau berkata semua pihak, khususnya pengamal undang-undang dan pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perundangan perlu menghormati titah serta kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mudah-mudahan apa yang sedang dan telah berlaku ini memberikan pengajaran kepada kita semua sama ada kita sebagai pengamal undang-undang, ataupun pihak yang menjaga perundangan agar patuhilah titah dan kuasa Tuanku kerana dalam undang-undang, perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan itu adalah supreme.
“Mudah-mudahan kita tutup buku … tidak ada polemik lagi selepas ini,” kata Presiden UMNO itu.
Baca juga:Ahmad Zahid turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib.
-- BERNAMA



