
KUALA LUMPUR - Mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diingatkan supaya tidak lari daripada tanggungjawab dalam isu berkaitan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS).
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan di era Pakatan Harapan (PH), Liew Chin Tong berkata, projek tersebut diluluskan Ahmad Zahid pada tahun 2011.
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jangan cuba nak lari daripada tanggungjawab.
“Projek LCS diluluskan Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan pada tahun 2011. Zahid juga yang membuat keputusan untuk menukarkan sistem LCS daripada sistem SIGMA kepada sistem GOWIND, sebelum berunding serta meminta nasihat pihak TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jangan cuba nak lari daripada tanggungjawab. Projek LCS telah diluluskan oleh Zahid...
Posted by Liew Chin Tong on Saturday, August 6, 2022
Justeru, Chin Tong menegaskan bahawa Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO perlu bertanggungjawab atas penyelewengan dana dan kegagalan projek LCS.
“Beliau mesti jawab kepada rakyat sekarang juga. Jangan lari,” katanya.
Bagaimanapun, terdahulu, UMNO Online melaporkan bahawa Ahmad Zahid berkata, tidak wajar menuding jari kepadanya berkait isu kegagalan perolehan LCS.
Menurutnya, beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu diberikan, sebaliknya memegang portfolio berkenaan dalam tempoh April 2009 hingga Mei 2013.
Ahmad Zahid menegaskan, mereka yang terbabit dalam kegagalan perolehan LCS perlu menjelaskan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Saya memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013. Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC,” katanya.
Khamis lalu, PAC mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bernilai RM9 bilion.
Melalui laporan PAC berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.
BNS adalah anak syarikat Boustead Holdings Bhd yang pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). - Getaran, 7 Ogos 2022
