
Tuan Pengarang,
AI, akronim dua huruf bagi kecerdasan pintar yang semakin menggemparkan dunia, kini menjadi alat penderaan terbaru yang membolehkan majikan mewujudkan lebih banyak ketakadilan dalam tenaga kerja Malaysia yang sudah sedia terjejas.
Dari segi positifnya, AI membuatkan pelaksanaan tugasan tradisional lebih mudah dan efisien. Namun dari segi negatifnya, ia memusnahkan kerja tanpa perasaan atau sebarang pertimbangan terhadap kebajikan insan. Memandangkan kebanyakan tugasan dikuasakan AI memerlukan penglibatan manusia untuk diselesaikan, jalan tengah yang wajar adalah memahirkan semula dan meningkatkan kemahiran pekerja supaya mereka kekal relevan seiring teknologi masa kini.
Ini sekadar bererti para majikan dan kerajaan tidak patut salah tafsir kesan AI sehingga mengakibatkan lebihan pekerja dan pengangguran, sebaliknya mereka perlu menyokong usaha untuk melatih semula pekerja bagi memastikan AI diperkenalkan di tempat kerja dan dilaksanakan secara adil lagi objektif, serta tanpa diskriminasi yang mampu menggugat mata pencarian.
Perkara ini penting kerana kini ramai majikan memberi latihan sekadar untuk membuktikan kepada pihak berkuasa bahawa mereka melaksanakan program seperti itu.
Modul latihan sekadar satu acuan pukul rata, dengan tujuan utamanya semata-mata bagi menyedapkan hati golongan berkuasa, bukannya meningkatkan kemahiran di tempat kerja.
Satu contoh jelas dalam hal ini adalah e-pembelajaran yang digunakan secara meluas oleh bank-bank di Malaysia. Mereka sering banggakan bahawa latihan diadakan melibatkan bilangan pekerja yang ramai. Organisasi-organisasi ini kurang peduli sama ada pekerja berkenaan benar-benar memahami apa yang diajar.
Perkara ini menjadi masalah khususnya apabila kebanyakan modul e-pembelajaran ini menggunakan bahasa Inggeris, tanpa mempedulikan realiti politik negara ini yang telah membentuk generasi baharu pekerja, yang tidak fasih menggunakan bahasa berkenaan - semua ini terima kasih kepada diskriminasi tiga dekad oleh ahli politik kita terhadap lingua franca dunia itu.
Dalam pada ahli politik terkemuka dan orang elit keliling mereka berjaya meminggirkan bahasa Inggeris di peringkat kebangsaan, masyarakat umum negara ini terus merana.
Malangnya, ramai rakyat biasa ini adalah dari kumpulan berpendapatan rendah B40 dan M40, dan mereka dilayan ibarat warga kelas kedua di negara sendiri.
Pada 2023, NUBE berjaya berunding dengan pihak bank supaya Perjanjian Kolektif dengan pekerja mereka menyertakan syarat untuk turut merangkumi keperluan latihan semula dan mewajibkan dialog sosial.
Namun, setelah NUBE memfailkan aduan pada 2024 atas kegagalan pihak bank mematuhi perjanjian itu, Mahkamah Perusahaan masih belum mendengar kes itu walaupun hampir setahun berlalu, atas alasan tiada pengerusi dapat mengendalikannya.
Sebaliknya, bila majikan yang memfailkan aduan, mahkamah mempercepatkan kes mereka, malah ada isu yang didengar dan diselesaikan begitu cepat.
Untuk Presiden Mahkamah Perusahaan, jika arahan untuk memerintahkan bank mematuhi Perjanjian Kolektif terus tertangguh, terutama apabila dilakukan secara diskriminasi, golongan pekerja B40 dan M40 yang akan paling terpalit rugi. Contohnya, industri perbankan, 15,000 pekerja ialah dari golongan B40 dan M40.
CEO ini lebih memfokuskan terhadap memaksimumkan keuntungan dan memelihara jawatan serta manfaat diterima, bukannya mengutamakan kebajikan dan masa depan B40 dan M40.
Walaupun perkara ini telah dibangkitkan dengan Gabenor Bank Negara Malaysia serta dua menteri kewangan - malah seorang daripadanya Perdana Menteri namun tak seorang pun antara mereka memberi maklum balas, menyebabkan 15,000 pekerja B40 dan M40 ini terus ditindas.
Ketika Persidangan AI Action di Perancis baru-baru ini, Gabungan Kesatuan Perdagangan Antarabangsa (ITUC) jelas menegaskan bahawa majikan dan kerajaan mesti menghormati hak asas kesatuan sekerja demokratik dalam soal rundingan kolektif dan dialog sosial. Ini melibatkan demokrasi di tempat kerja yang membawa perubahan teknologi demi manfaat semua pihak.
Di Malaysia, tindakan golongan berkuasa mewujudkan sistem kasta di tempat kerja mengkhianati rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan dan mengamanahkan masa depan mereka di tangan ahli politik yang dilantik, kerajaan, serta pihak majikan. Sistem ini tidak memanfaatkan majoriti rakyat Malaysia.
Jika pemimpin korporat, ahli politik dan pegawai awam tertinggi dalam kerajaan terus menindas penduduk Malaysia, bagaimanakah sepatutnya layanan adil demi masa depan yang lebih baik?
Melainkan ahli politik, kerajaan dan pihak korporat mengakhiri sistem kasta sistemik dalam tenaga kerja negara ini, Malaysia akan terus tercicir daripada menjadi negara progresif, walaupun menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.
Ketidakadilan dalam AI yang membentuk semula tenaga kerja adalah perkara pertama yang patut diperbaiki. Marilah kita berharap supaya pihak korporat dan pemimpin negara mempunyai keberanian dari segi moral untuk memastikan pekerja-pekerja memiliki kemahiran sewajarnya demi melaksanakan - dan mempertahankan - kerja mereka.
J. Solomon
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube)
