Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof menegaskan bahawa transformasi inovatif sistem bekalan elektrik adalah nadi utama dalam menjayakan agenda peralihan tenaga bersih negara.
Beliau berkata, tanpa grid yang kukuh, fleksibel dan moden, matlamat peralihan tenaga tidak dapat dicapai sepenuhnya.
“Transformasi inovatif sistem bekalan elektrik adalah nadi utama peralihan tenaga bersih.
“Tanpa grid yang kukuh, fleksibel dan moden, matlamat ini tidak dapat dicapai sepenuhnya,” tegasnya ketika mengetuai delegasi Malaysia ke 16th Clean Energy Ministerial (CEM16) dan 10th Mission Innovation Ministerial (MI-10) di BEXCO, Busan, Republik Korea.

Selain itu, Malaysia turut menekankan kepentingan sambungtara serantau melalui ASEAN Power Grid sebagai pemacu kepada keselamatan bekalan elektrik.
Dalam sesi High-Level Dialogue on Energy & Artificial Intelligence (AI), Fadillah berkata teknologi AI kini menjadi realiti yang sedang membentuk cara perancangan, pengurusan dan transformasi sistem tenaga dunia.
“AI bukan lagi konsep teori, tetapi realiti yang membentuk cara kita merancang, mengurus dan mentransformasi sistem tenaga.
“Jika diurus secara bertanggungjawab, AI boleh menjadi pemacu utama peralihan tenaga bersih,” jelasnya.
Artikel lain: Bawa Agenda Kelestarian Di Peringkat Antarabangsa, Fadillah Yusof Ketuai Delegasi Malaysia Ke Jakarta
Malaysia menyokong
CEM-MI Agenda for Action
yang dilancarkan di Brazil pada 2024 sebagai kerangka penting mempercepat pelaburan tenaga bersih melalui kerjasama kerajaan dan sektor swasta, dasar jelas, inovasi teknologi serta pembiayaan lestari.
Penyertaan Malaysia di forum berprestij itu adalah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan inovasi demi memastikan masa depan tenaga negara lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Dalam rangka lawatan kerja itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengunjungi Korea Hydro & Nuclear Power (KHNP) Saeol Nuclear Power Plant (NPP) bagi meninjau teknologi keselamatan nuklear terkini, sekali gus membuka ruang potensi kerjasama dalam bidang tenaga nuklear sebagai sumber rendah karbon untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia.
The post AI Bukan Lagi Konsep Teori, Berpotensi Jadi Pemacu Utama Peralihan Tenaga Bersih – Fadillah appeared first on Borak Daily.




