Ai-CHA, jenama aiskrim & teh Indonesia pertama peroleh pensijilan halal JAKIM di Malaysia

LocalFood
1 Aug 2025 • 4:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ai-CHA, jenama aiskrim & teh Indonesia pertama peroleh pensijilan halal JAKIM di Malaysia

image is not available

01/08/2025 - 16:35

Ai-CHA telah menjadi jenama aiskrim dan teh dari Indonesia yang pertama di Malaysia menerima pensijilan halal daripada JAKIM. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Jenama aiskrim dan teh dari Indonesia, Ai-CHA melakar sejarah apabila menjadi yang pertama seumpamanya dari negara itu menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi cawangannya di Berjaya Times Square.

Timbalan Pengurus Besar Ai-CHA Global, Danny Tahardi berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen serius Ai-CHA terhadap pematuhan piawaian halal untuk memastikan jenama itu berkembang pesat di pasaran Malaysia.

"Syarikat berbangga menjadi perintis dalam mendapatkan pengiktirafan halal bagi produk aiskrim dan teh Indonesia di Malaysia.

"Meskipun telah berjaya membuka 300 cawangan dalam tempoh hanya 12 bulan, pensijilan halal tetap menjadi keutamaan utama kami,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, lima lagi cawangan dijangka menerima pensijilan halal JAKIM menjelang akhir tahun ini, manakala beberapa cawangan lain sedang melalui proses permohonan.

“Semua bahan yang digunakan adalah daripada sumber halal. Ini adalah proses berterusan dan merupakan teras operasi kami.

"Kami mahu pelanggan yakin setiap produk Ai-CHA adalah halal,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Ai-CHA Malaysia, Jason Chung menegaskan halal bukan sekadar keperluan pasaran, sebaliknya menjadi prinsip utama operasi jenama itu.

“Pensijilan halal bukan hanya penting untuk pelanggan, tetapi juga memberi keyakinan kepada rakan francaisi. Kami komited membangunkan jenama ini secara telus, konsisten dan berintegriti.

"Syarikat turut merancang memperkenalkan pelbagai menu snek panas seperti ayam goreng dan kentang goreng di cawangan terpilih bagi menarik lebih ramai penggemar makanan ringan halal.

“Pensijilan halal bukan sahaja jaminan produk, tetapi juga mencerminkan disiplin operasi dan kematangan jenama. Kami mahu Ai-CHA menjadi jenama yang dekat di hati rakyat Malaysia,” ujarnya.

Ditubuhkan pada 2022 di Indonesia, Ai-CHA kini berkembang di sembilan negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Laos, Filipina, Kemboja, Myanmar dan Brunei.

Dengan slogan “Love Life, Drink Ai-CHA”, jenama ini terkenal dengan variasi produk seperti aiskrim lembut, teh susu dan minuman bermusim yang disasarkan kepada generasi muda.

Ai-CHA sebelum ini telah memperoleh pengiktirafan halal daripada Majelis Ulama Indonesia (MUI), dan kini menumpukan usaha mendapatkan pensijilan daripada pihak berkuasa Malaysia bagi semua cawangannya.

image is not available
Cawangan pertama Ai-CHA Malaysia yang terletak di Berjaya Times Square kini diperakui halal oleh JAKIM

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Halal Ai-CHA Malaysia, Zafran Khair berkata, syarikat telah menyelaras seluruh operasinya agar memenuhi keperluan halal JAKIM.

“Kami melaksanakan latihan menyeluruh kepada semua pihak terlibat, memantau pematuhan piawaian halal, mendapatkan bahan mentah daripada pembekal bertauliah, dan memastikan semua prosedur dipatuhi di setiap cawangan,” katanya.

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2024, Ai-CHA telah berkembang pesat dengan memiliki 362 cawangan di seluruh negara dengan lebih tiga juta pelanggan setiap bulan.

Pencapaian luar biasa itu menyaksikan Ai-CHA mencatat dua rekod dalam Buku Rekod Malaysia iaitu rangkaian kedai aiskrim paling banyak dibuka dalam setahun dan rangkaian kedai minuman paling banyak dibuka dalam setahun.

Pengiktirafan tersebut diberikan selepas Ai-CHA berjaya membuka 300 cawangan dalam tempoh 12 bulan dengan purata hampir satu cawangan baharu setiap hari.

Jenama itu turut menerima Anugerah Pilihan Pengguna 2025/2026 daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dalam perkhidmatan, kepuasan pelanggan dan pematuhan piawaian operasi.

Sebagai tanda penghargaan, Ai-CHA kini menawarkan promosi “Beli 1, Percuma 1” untuk semua menu di cawangan Berjaya Times Square, bermula hari ini hingga 6 Ogos 2025. - DagangNews.com

standard