AI disyaki dalangi serangan siber Jepun

WorldTechnology
25 Oct 2026 • 11:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AI disyaki dalangi serangan siber Jepun

TOKYO: Kelemahan dalam aplikasi telefon pintar dipercayai antara punca serangan siber terhadap beberapa syarikat di Jepun baru-baru ini, sehingga menyebabkan kebocoran data.

Institut Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan Jepun, yang bernaung di bawah kementerian komunikasi negara itu, berkata kecerdasan buatan (AI) kini digunakan untuk menyerang pelayan syarikat dengan mengeksploitasi kelemahan dalam aplikasi.

Institut itu berkata, aplikasi yang dibangunkan untuk sistem operasi Android milik gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Google, menjadi sasaran, manakala aplikasi Apple juga berkemungkinan diserang.

Laporan mengenai akses tanpa kebenaran dan kebocoran maklumat sejak beberapa minggu lalu mendorong kerajaan Jepun menggesa syarikat memperketatkan langkah keselamatan siber.

Institut itu turut menegaskan kepentingan memastikan pelayan direka bentuk dan dikendalikan dengan selamat, namun mengakui sukar untuk menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada mengesan kelemahan dalam aplikasi.

Menurut pasukan penyelidik institut itu, penyerang menganalisis program yang digunakan dalam aplikasi untuk mengenal pasti kelemahan pada pelayan sebelum melancarkan serangan bagi mencetuskan tindakan yang tidak sepatutnya berlaku atau menjalankan perisian hasad untuk mendapatkan akses kepada data sulit.

“Berdasarkan peningkatan serangan ini, terdapat kemungkinan AI digunakan untuk mengautomasikannya,” kata jurucakap institut itu.

Kebocoran data itu turut melibatkan pengendali perkhidmatan perkongsian kenderaan Times Car, syarikat pengendali kereta api East Japan Railway dan pengeluar motosikal Yamaha Motor.- AGENSI

The post AI disyaki dalangi serangan siber Jepun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved