
PERKEMBANGAN teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) sememangnya membuka pelbagai ruang baharu dalam kehidupan manusia pada masa ini.
Bagaimanapun, penggunaan teknologi itu perlu dipandu dengan iman, akhlak serta prinsip syariah agar ia tidak menjadi alat yang membawa kerosakan kepada individu serta masyarakat.
Bagi pendakwah bebas, Muhammad Hafifi Don, 42, Islam tidak pernah menolak kemajuan teknologi kerana ia merupakan sebahagian daripada nikmat ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia.
Beliau yang juga tenaga pengajar Kompleks Darul Hidayah, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam berkembang maju dalam bidang ilmu, matematik, perubatan dan astronomi kerana umat Islam memahami bahawa ilmu adalah amanah yang mesti dimanfaatkan demi kesejahteraan manusia.
“Oleh itu, AI boleh menjadi wasilah yang membawa maslahat besar dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dakwah, kesihatan, perniagaan serta pengurusan kehidupan jika digunakan dengan cara yang betul,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Beliau berkata, teknologi seperti AI tidak mempunyai nilai dosa atau pahala dengan sendirinya, sebaliknya hukum penggunaannya bergantung kepada tujuan serta cara manusia memanfaatkannya.
Muhammad Hafifi Don
Usia: 42 tahun
Pekerjaan: Tenaga Pengajar Kompleks Darul Hidayah MAINPP/Pendakwah Bebas
“Justeru, jika AI digunakan untuk membantu manusia, menyelesaikan masalah masyarakat dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat, maka, ia termasuk perkara yang harus malah boleh menjadi ibadah jika disertai niat yang baik.
“Tetapi, jika ia digunakan untuk penipuan, fitnah, penyebaran kandungan lucah, manipulasi fakta atau menjatuhkan maruah seseorang, maka, ia jelas bercanggah dengan syariat,” katanya.
Beliau menjelaskan, Allah SWT turut mengingatkan manusia supaya tidak melampaui batas dalam setiap perkara termasuk penggunaan teknologi.
Katanya, penyalahgunaan AI seperti menghasilkan kandungan palsu, video deepfake atau berita tidak benar merupakan antara cabaran terbesar dalam era digital kerana ia mampu mengelirukan masyarakat.
“Teknologi yang canggih tidak mengubah hukum agama. Penipuan tetap haram walaupun dilakukan menggunakan AI. Oleh itu, menghasilkan video palsu, gambar yang direka untuk memfitnah atau artikel yang sengaja dibuat untuk mengelirukan masyarakat termasuk dalam kategori perbuatan zalim terhadap orang lain,” ujarnya.
Beliau berkata, umat Islam juga diperintahkan supaya menyelidik setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya, lebih-lebih lagi apabila AI mampu menghasilkan kandungan yang kelihatan seolah-olah benar.
Katanya, penyebaran berita palsu melalui AI bukan sekadar kesalahan moral, malah, boleh menjadi dosa besar kerana melibatkan fitnah, kezaliman dan pengkhianatan terhadap amanah ilmu.
“Walaupun seseorang tidak bercakap secara lisan, tetapi, dia menggunakan teknologi untuk menyebarkan kebohongan, tanggungjawab dosa tetap berada di atas dirinya.
“Lebih buruk lagi apabila tindakan itu merosakkan reputasi seseorang, memecahbelahkan masyarakat atau menyebabkan kerugian kepada pihak lain,” katanya.
Mengulas mengenai garis panduan penggunaan AI menurut perspektif Islam pula, beliau berkata, umat Islam perlu memastikan bahawa teknologi itu membawa manfaat dan bukannya kemudaratan kepada ummah.
Katanya, setiap maklumat yang dihasilkan AI perlu disemak terlebih dahulu kerana AI hanyalah sistem yang memproses data dan bukannya memiliki ilmu seperti manusia.
“Selain itu, AI juga tidak boleh digunakan untuk mencuri identiti, membuka aib, memanipulasi gambar atau mengambil hak orang lain tanpa izin. Manusia juga tidak boleh menyerahkan seluruh proses berfikir kepada AI sehingga mengabaikan akal yang dikurniakan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, beberapa institusi fiqh dan fatwa kontemporari turut menegaskan bahawa isu AI perlu dinilai berdasarkan manfaat serta mudaratnya, selaras dengan prinsip maqasid syariah.
Menurutnya, manusia mesti kekal menjadi pengawal kepada teknologi kerana AI tidak mempunyai niat, tanggungjawab moral mahupun kesedaran agama.-UTUSAN
The post AI: Guna teknologi berpandukan iman, ke arah kebaikan bukan emosi appeared first on Utusan Malaysia.





