
BAYANGKAN seorang murid menatap skrin kosong, lalu dalam hitungan lima saat terhidang sebuah karangan 500 patah perkataan lengkap dengan pendahuluan, isi, peribahasa, malah penutup.
Tiada dahi berkerut mencari ilham mahupun pensel dicoret perlahan, jauh sekali perjalanan akal menimbang kata demi kata. Cukup satu arahan, mesin menyiapkan segalanya.
Kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi bayang-bayang masa depan. Teknologi itu sudah menyelinap ke bilik darjah, menjadi teman belajar, pembantu tugasan, malah jadi ‘penulis segera’.
Kemudahan sedemikian sememangnya membuka gerbang luas kepada pencarian ilmu, namun pintu sama boleh menjadi jeriji apabila kemudahan menggantikan usaha.
Dalam konteks bahasa Melayu, persoalan ini menjadi lebih besar. Bahasa bukan hanya sistem komunikasi, sebaliknya wadah budaya, sejarah dan jati diri.
Setiap peribahasa menyimpan pengalaman bangsa, kiasan pula membawa nuansa rasa, manakala susunan kata mencerminkan cara masyarakat melihat dunia.
Maka, ancaman AI bukan semata-mata tentang plagiarisme atau markah peperiksaan, tetapi kemungkinan lahirnya generasi mampu menulis tanpa benar-benar memahami seni di sebalik tulisan.
Menurut Guru Bahasa, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fawiz Bakri, penggunaan AI dalam pendidikan perlu diletakkan pada landasan tepat supaya teknologi tidak bertukar daripada pembantu kepada hamba daya fikir manusia.
“Satu ‘pembunuhan senyap’ boleh berlaku jika AI disalahgunakan, namun teknologi sama berpotensi menjadi pemangkin kognitif sekiranya acuan penggunaannya diubah.
“Apabila pelajar menyerahkan keseluruhan proses penulisan kepada AI, mereka sebenarnya melangkaui fasa paling kritikal dalam pembelajaran, iaitu mencari idea, menyusun hujah dan mensintesis maklumat.
“Kesannya, kemahiran kognitif menjadi lemah kerana pelajar lebih cenderung meniru daripada mencipta. Sedangkan AI boleh dimanfaatkan untuk mencetuskan idea, melakukan sumbang saran dan menjadi pemangkin pemikiran, bukan pencipta teks mutlak,” katanya.
Tambah Fawiz, kecanggihan AI turut berdepan batasan dengan kekayaan estetika bahasa Melayu apabila teks kelihatan kemas pada permukaan, namun tidak mempunyai roh, rasa dan citra tempatan.
“Sebahagian teks AI cenderung mengikut logik bahasa asing sehingga struktur ayat boleh kedengaran mekanikal, hambar dan berulang. Keadaan ini boleh menjadi ancaman kepada mutu sastera.
“Sentuhan manusia diperlukan untuk menghasilkan karya bermutu tinggi. Pelajar tidak boleh mengambil teks janaan AI dan menganggap tugas penulisan sudah selesai,” ujarnya.
Persoalan lebih genting muncul apabila generasi masa depan terlalu biasa bergantung kepada gajet. Apakah mereka masih mampu menyusun ayat secara spontan apabila skrin dimatikan?
Jelas Fawiz, risiko tersebut wujud sekiranya pendidikan gagal mengimbangi penggunaan teknologi dengan latihan komunikasi secara langsung.
“Jika gajet mengambil alih setiap interaksi, kita berisiko melahirkan generasi mengalami ‘amnesia digital’ serta gagap berkomunikasi.
Justeru, Fawiz mencadangkan agar pentaksiran autentik seperti penulisan dalam kelas tanpa gajet, ujian lisan serta pembentangan spontan perlu lebih diperluas bagi mengukur keaslian pemikiran.
The post AI rampas jiwa bahasa? appeared first on Kosmo Digital.
