AIA salur biasiswa bernilai RM4.8j bantu 60 pelajar UIAM, UM

LocalBusiness & Finance
30 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AIA salur biasiswa bernilai RM4.8j bantu 60 pelajar UIAM, UM

PETALING JAYA: Sebanyak RM4.8 juta diperuntukkan menerusi Program Biasiswa AIA Penyala Harapan untuk membantu 60 pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful Bhd., Mohd. Asri Omar berkata, daripada jumlah itu, RM1.6 juta sebelum ini diperuntukkan untuk 20 pelajar UIAM yang merupakan kohort pertama program berkenaan.

Menurutnya, AIA PUBLIC Takaful kemudian menambah RM3.2 juta lagi, masing-masing RM1.6 juta untuk 20 pelajar UIAM bagi kohort kedua dan RM1.6 juta untuk 20 pelajar UM bagi kohort pertama universiti itu.

“Dengan komitmen tambahan RM3.2 juta ini, jumlah keseluruhan peruntukan biasiswa AIA Penyala Harapan kini mencapai RM4.8 juta dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 60 pelajar.

“Dalam tempoh kurang setahun, program ini telah berkembang daripada menyokong satu kohort penerima biasiswa kepada menjalin kerjasama dengan dua universiti terkemuka negara.

Perkembangan ini mencerminkan hasrat kami untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk pelajar yang berpotensi tinggi dan berkelayakan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada majlis penyampaian biasiswa AIA Penyala Harapan kepada 20 pelajar bagi kohort pertama UIAM di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Image from: AIA salur biasiswa bernilai RM4.8j bantu 60 pelajar UIAM, UM
MOHD. ASRI OMAR

“Program Biasiswa AIA Penyala Harapan yang dilancarkan pada Oktober 2025 dibiayai menerusi dana lebihan takaful pelanggan AIA PUBLIC Takaful yang didermakan secara sukarela kepada Tabung Amal AIA Penyala Harapan.

“Inisiatif ini membuktikan sumbangan kolektif melalui takaful bukan sekadar melindungi peserta dan keluarga, malah mampu memberi manfaat kepada masyarakat dengan membuka peluang pendidikan kepada generasi muda,” tambah beliau.

Di UIAM, biasiswa ini ditawarkan kepada pelajar tahun pertama yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Perbankan Islam, Kewangan Islam, dan Undang-undang.

Kerjasama dengan universiti kedua, UM pula memperluaskan tawaran program ke lebih banyak bidang pengajian termasuk Sains Aktuari, Sains Komputer, Ekonomi, Perakaunan, Kewangan, Perubatan, Pembedahan, Sains Kejururawatan dan Pentadbiran Perniagaan.

Biasiswa itu juga bukan sekadar menampung yuran pengajian dan perbelanjaan harian pelajar sepanjang tempoh pengajian sehingga tamat malah turut menyediakan sokongan pembangunan diri.

“Walaupun bantuan kewangan merupakan aspek utama program ini, namun sokongan kami melangkaui pembiayaan pengajian semata-mata.

“Melalui pementoran, pendedahan industri serta inisiatif kesediaan kerjaya, kami berharap dapat melengkapkan penerima biasiswa dengan kemahiran, keyakinan serta pengalaman yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif,” tambah Mohd Asri.

Sementara itu, penerima biasiswa AIA Penyala Harapan, Sarah Amalia Mohd Sahid, 20, berkata, bantuan berkenaan amat melegakan kerana membolehkannya memberi tumpuan lebih kepada pengajian.

Dia yang merupakan pelajar jurusan Kewangan Islam di UIAM berkata, bantuan kewangan diterima mampu menampung yuran dan elaun bulanan, sekali gus mengurangkan beban kewangan keluarganya.

“Saya bersyukur kerana telah dipilih sebagai penerima dan pemilihan ini membuatkan saya ingin berusaha dengan lebih keras bagi membuktikan kepercayaan yang diberikan oleh pihak AIA.

“Dengan adanya bantuan ini, saya tidak perlu terlalu memikirkan perancangan kewangan dan boleh lebih fokus kepada pembelajaran,” katanya.

Image from: AIA salur biasiswa bernilai RM4.8j bantu 60 pelajar UIAM, UM
SARAH Amalia Mohd Sahid dan Muhammad Salihin Hakkim Mohamed menerima sijil biasiswa AIA Penyala Harapan daripada AIA PUBLIC Takaful.

Selain itu, bagi penerima biasiswa, Muhammad Salihin Hakkim Mohamed, 21, turut menyifatkan pemilihannya sebagai penerima biasiswa satu kejutan selepas beberapa permohonan biasiswa terdahulu tidak berjaya.

Pelajar jurusan Kewangan Islam di UIAM itu berkata, dia berasa bangga apabila menerima e-mel yang mengesahkan permohonannya berjaya selepas menunggu kira-kira dua hingga tiga bulan.

“Bantuan tersebut memberi kelegaan kerana saya tidak perlu terlalu memikirkan soal kewangan atau membebankan ibu dan ayah saya, sebaliknya saya dapat menggunakan peluang ini untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya berharap biasiswa ini menjadi pemangkin untuk saya menceburi bidang pelaburan dan seterusnya membina kerjaya yang stabil dan bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Profesor Dr. Hasniza Zaman Huri, berkata kerjasama UM dengan AIA PUBLIC Takaful mencerminkan kepercayaan bersama bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan dan memperkukuh komuniti.

Katanya, akses kepada pendidikan berkualiti tidak sepatutnya dibatasi latar belakang sosio ekonomi pelajar.

“Ini selaras dengan aspirasi UM Leader yang mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran berfikir secara kritis serta mengamalkan nilai Laureate, Ethical, Analytical, Dynamic, Empathy dan Resilience.

“Kerjasama universiti bersama pihak industri dan masyarakat amatlah penting untuk mewujudkan peluang bermakna yang membantu golongan muda berkembang sebagai pemimpin masa depan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM, Profesor Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin, menghargai kerjasama AIA PUBLIC Takaful dalam menyediakan biasiswa kepada pelajar UIAM, sekali gus membantu mereka mendapatkan pendidikan berkualiti.

Beliau menyifatkan penerima biasiswa sebagai penyala harapan yang bukan sahaja membawa impian sendiri, malah memikul harapan keluarga serta tanggungjawab kepada masyarakat.

“Komitmen berterusan AIA PUBLIC Takaful terhadap kohort kedua UIAM menunjukkan pendekatan pembangunan bakat yang mampan melalui kesinambungan sokongan pendidikan.

“Perluasan pemberian biasiswa kepada pelajar UIAM dan UM menjadikan Program Biasiswa AIA Penyala Harapan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya pelaburan jangka panjang terhadap bakat serta kepimpinan negara,” katanya.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Biasiswa AIA Penyala Harapan, layari www.aia.com.my. – UTUSAN

The post AIA salur biasiswa bernilai RM4.8j bantu 60 pelajar UIAM, UM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved