AICHR jangka pelan kerja 2026-2030 tentu hala tuju hak asasi manusia dimuktamad Jun ini

LocalPolitics
29 Apr 2025 • 3:37 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) menjangkakan pembangunan Pelan Kerja Lima Tahun (2026- 2030) yang sedang dirangka dapat dimuktamadkan pada Jun depan.

Pengerusi AICHR merangkap wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon berkata, pelan kerja berkenaan sangat penting dalam membentuk hala tuju dan masa depan hak asasi manusia di rantau ini.

“Malaysia sebagai pengerusi Asean dan pengerusi AICHR perlu melihat untuk merangka pelan kerja baharu 2026-2030.

“Kita perlu memuktamadkannya (pelan kerja) itu pada Mei atau Jun kerana kita akan bertemu menteri-menteri pada Mesyuarat Menteri Luar Asean Julai nanti di Kuala Lumpur.

“Apabila kita bertemu mereka, kita akan membentangkan rancangan, laporan tahunan dan beberapa cadangan bagaimana kita boleh menjadikan badan-badan (di bawah AICHR) ini lebih baik.

“Dalam hal ini, untuk AICHR, kami laporkan kepada menteri luar dan mereka akan mengambilnya untuk mengusahakan diplomasi hak asasi manusia ke rantau Asean,” katanya kepada media selepas ucaptama mesyuarat konsultasi bersama pihak berkepentingan mengenai Pelan Kerja Lima Tahun berkenaan di sini hari ini.

image is not available
Edmund Bon Tai Soon berkata Malaysia sebagai pengerusi Asean dan pengerusi AICHR perlu melihat untuk merangka pelan kerja baharu 2026-2030. - Gambar Irwan Shafrizan Ismail/Scoop, 29 April, 2025

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelan kerja yang dirangka juga perlu proaktif dan kekal relevan dengan perubahan semasa termasuk dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim dan ancaman keselamatan.

“Kemunculan perubahan ini juga merupakan ancaman kepada hak asasi manusia, oleh itu pelan kerja yang kita cuba lihat untuk lima tahun akan datang, mestilah proaktif dan kekal relevan.

“Kami ada banyak perbincangan semalam tentang apa yang dimaksudkan dengan pembangunan yang betul termasuk dari segi politik, ekonomi serta pembangunan budaya dan sosial.

“Bagaimana AI memberi kesan kepada hak asasi manusia dan perubahan iklim selain menangani isu pelarian serta penduduk tanpa kerakyatan (stateless),” katanya.

Beliau berkata, selain isu terbabit, AICHR sejak 2009 telah melihat kepada isu merangkumi 40 bidang tematik.

“Itulah sebabnya selepas 16 tahun penubuhan AICHR, Malaysia kini menjadi tuan rumah buat kali pertama, jadi kami boleh melihat kemajuan dan kelemahan dan melihat bagaimana kami boleh menambah baik.

“Tiada organisasi yang sempurna, (untuk) perbaiki kerja AICHR, maknanya kita kena perbaiki pelan kerja.

“Jadi kita perlukan (kerjasama) agensi kerajaan untuk melaksanakannya, kita tidak boleh buat sendiri, perlukan bantuan mereka, sebab itu ada agensi yang duduk dalam mesyuarat ini seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC),” katanya.

Ditanya apakah cabaran dihadapi AICHR dalam menangani isu berbangkit berkenaan hak asasi manusia, Edmund berkata, kekurangan dana menjadi penghalang utama suruhanjaya itu.

“Di suruhanjaya ini kami berdepan cabaran sumber. Kami tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melakukan apa yang kami mahu lakukan.

“Selain itu kita juga tahu bahawa hak asasi manusia bukanlah isu yang diterima di semua negara pada tahap yang sama.

“Jadi di Malaysia kita sangat terbuka untuk bercakap mengenainya, tetapi di negara lain yang mempunyai solekan politik yang berbeza, sistem yang berbeza, ada juga negara lain yang mungkin mempunyai budaya yang berbeza termasuk hubungan dengan badan bukan kerajaan (NGO).

“Malaysia sangat terbuka untuk bercakap mengenainya (hak asasi) tetapi ada negara lain tidak begitu terbuka, jadi bagaimana kita menguruskan isu emosi, berbincang pada tahap di mana semua orang selesa dan membawa ke tahap yang semua orang boleh bercakap mengenainya,” katanya.

Terdahulu, buat pertama kali sejak AICHR ditubuhkan, Malaysia membuka pembangunan Pelan Kerja Lima Tahun seterusnya (2026 hingga 2030) untuk konsultasi bersama masyarakat madani dan pihak berkepentingan.

Malaysia mencadangkan agar Asean menyelaraskan agenda hak asasi manusia dan pembangunan dengan Visi Asean 2045, dengan menetapkan matlamat strategik yang mengutamakan keamanan, keterangkuman, kemampanan dan daya tahan di seluruh rantau ini.

Konsultasi Kedua AICHR selama dua hari itu menghimpunkan pihak berkepentingan daripada tiga tonggak Komuniti Asean untuk memberi input awal terhadap draf pengisytiharan dan meneroka strategi mengintegrasikan hak asasi manusia ke dalam rangka pembangunan Asean.

Inisiatif Malaysia ini selaras dengan Terma Rujukan AICHR, termasuk meningkatkan kesedaran hak asasi manusia, melibatkan pihak berkepentingan dan membangunkan pendirian bersama Asean mengenai hak asasi manusia. - 29 April, 2025