Aidil ganti Irfan latih Kuching City

3 Aug 2023 • 2:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aidil ikat kontrak bersama Kuching City sehingga akhir musim dengan pilihan tambahan setahun bagi edisi 2024. - Foto Agensi

KUCHING City FC melantik jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Aidil merupakan bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi musim 2019 hingga 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City, Iswandy Ali Hassan memberitahu, kontrak itu adalah untuk tempoh lima bulan dengan pilihan lanjutan selama semusim buat pengendali berusia 46 tahun itu.

“Sekarang ini kontrak lima bulan, ada optional (pilihan) untuk dia.

“Kita akan tambah semusim lagi untuk tahun hadapan,” katanya pada sidang media yang disiarkan platform media sosial rasmi kelab pada Rabu.

Dalam pada itu, Iswandy turut memaklumkan mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) buat Aidil iaitu kekal berada dalam saingan Liga Super musim depan.

Beliau turut mengumumkan bekas ketua jurulatih sementara Kuching City, Firdaus Morshidi dilantik sebagai penolong ketua jurulatih.

Pengumuman pelantikan Aidil dan Firdaus adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Irfan Bakti Abu Salim dan Sulaiman Hussin susulan peletakan jawatan mereka sebagai ketua dan penolong ketua jurulatih sebelum ini.

Sebagai rekod, selama tiga musim bersama KDA FC, Aidil membawa pasukan berkenaan muncul juara Piala FA 2019 serta naib juara Liga Super 2020 dan 2021.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved