Aidiladha: Terengganu benar ibadah korban dan akikah tanpa had haiwan dan petugas

13 Jun 2022 • 7:44 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA TERENGGANU: Aktiviti ibadah korban dan akikah dibenarkan dijalankan seperti biasa tanpa had bilangan haiwan pada sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata ibadah itu boleh dilakukan sama ada di rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) atau rumah sembelihan swasta yang berlesen.

“Selain itu, sembelihan juga boleh dilakukan di perkarangan masjid atau surau, perkarangan rumah serta di kawasan lapang yang lain.

“Jumlah haiwan korban atau akikah dan jumlah petugas juga tidak dihadkan, bagaimanapun bagi masjid, surau atau premis yang ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, aktiviti ini tidak dibenarkan sepanjang tempoh penutupan itu,“ katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kebenaran itu diberi dengan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin setelah berbincang dan mendapat penjelasan dari Mufti Negeri Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu.

Sementara itu Shaikh Harun berkata solat sunat Aidiladha juga boleh dilaksanakan di masjid atau surau mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MAIDAM pada 20 Mac lepas.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengeluarkan Garis Panduan dan SOP Pelaksanaan Ibadah Korban dan Akikah yang lengkap untuk rujukan semua pihak,“ katanya.-Bernama